HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Disember 2017

Perhimpunan Agung Pertama PPBM Tiada Aura Kemenangan – Dr Kamarul



Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, hari ini kelihatan bermula dengan langkah songsang.

Ini kerana agenda pertamanya, iaitu pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Perhimpunan, menyaksikan seorang yang telah ditolak dipilih sebagai Pengerusi Tetap.

Datuk Seri Mohd Shariff Omar, yang dipilih sebagai Pengerusi Tetap ini, bertanding di atas tiket Bebas di kerusi P42 Tasek Gelugor dan di kerusi N5 Sungai Dua di dalam PRU 13.

Di kerusi P42 Tasek Gelugor, beliau hilang deposit bila hanya mampu memperolehi 1,590 undi berbanding 21,351 undi dan 24,393 undi yang diperolehi calon PAS dan calon BN.

Di kerusi N5 Sungai Dua, beliau juga hilang deposit bila hanya mampu memperolehi 344 undi berbanding 7,594 undi dan 7,951 undi yang diperolehi calon PAS dan calon BN.

Bukan setakat ditolak oleh pengundi di kerusi P42 Tasek Gelugor dan pengundi di kerusi N5 Sungai Dua sahaja, beliau juga ditolak oleh bekas parti-parti lamanya, UMNO dan PKR.

Setelah dipecat dari UMNO kerana menyertai PRU 13 di atas tiket Bebas, beliau mengumumkan menyertai PKR pada 14 Mac 2014, di dalam kehangatan PRK Kajang.

Tidak diberikan peranan oleh PKR, beliau menyertai PPBM tahun lalu, mulanya sebagai Penyelaras dan kemudiannya sebagai Timbalan Pengerusi PPBM Pulau Pinang.

Bagaimanakah agaknya Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM ini boleh memancarkan aura kemenangan bila pengendalinya adalah orang yang telah ditolak?

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


 

Tiada ulasan: