KUALA LUMPUR: Permohonan maaf yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad
menimbulkan pelbagai persoalan ekoran kata maaf itu tidak dinyatakan
secara jelas ia ditujukan kepada siapa.
Justeru Bendahari Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak, mendesak Dr
Mahathir memperincikan permohonan maaf yang disuarakannya, ketika
menyampaikan ucapan dasar perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), semalam.
"Mahathir cuba maksudkan kerugian tukaran asing, skandal Maminco (pada
tahun 1980-an), memenjarakan (Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri) Anwar
Ibrahim, krisis perlembagaan atau Perwaja (Steel Sdn Bhd)?
"Sebaliknya, beliau meminta maaf terhadap semua kesalahan yang
dilakukannya sepanjang 22 tahun menyandang jawatan Perdana Menteri?"
katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman blog rasminya, hari
ini.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM menyifatkan dirinya sebagai
manusia biasa dan tidak lari daripada melakukan kesilapan, justeru
mengemukakan permohonan maaf secara terbuka ketika mengakhiri ucapan
dasar yang disampaikan di Pusat Konvensyen Ideal, di Shah Alam.
Bagaimanapun, Mahathir menjelaskan permohonan maaf itu tidak bermakna
dirinya terbabit dalam melakukan kesalahan, sebaliknya bersifat umum dan
tidak ditujukan kepada mana-mana pihak atau dikaitkan dengan sebarang
peristiwa.
Salleh berkata, tindakan bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu
sekadar cuba 'menyelitkan' sesuatu elemen penyambung ketika berucap di
atas pentas.
"Ia sama dengan cara kita cakap 'oh ya... sebelum saya mengundur diri'.
Permohonan maaf seperti itu sangat umum dan boleh diterjemahkan kepada
pelbagai maksud.
"Jika beliau (Dr Mahathir) ikhlas nak minta maaf, maka ia perlu lebih
terperinci dengan menyatakan pada pihak mana permohonan itu ditujukan.
"Sekiranya tiada penjelasan lanjut, permohonan maaf seperti ini boleh
diketepikan kerana tidak mengandungi sebarang butiran atau digunakan
sebagai 'tiket berlindung' apabila timbul keperluan untuk berbuat
demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan