HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Disember 2017

Musa ajak rakyat bersatu tolak syak wasangka, kebencian

 
Ketua menteri Sabah itu turut menggesa rakyat menolak maklumat berunsur politik kotor yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan disebar pihak tertentu untuk mencapai agenda tersembunyi mereka.


musa-aman-sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengajak rakyat terus bersatu menolak sebarang usaha pihak tertentu yang mahu mengikis perasaan dan semangat hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini, khususnya di Sabah.

Beliau berkata, hanya melalui kesatuan seperti itu, keamanan dan keharmonian yang sudah bertapak kukuh sekian lama di negeri dan negara ini akan terus dikecapi rakyat.

“Kita akui, terdapat usaha pihak tertentu yang cuba mencipta keretakan hidup bermasyarakat di negeri ini. Namun, kita tidak boleh membenarkan sentimen ini menghancurkan apa yang telah dibina nenek moyang kita.

“Ia hanya akan merugikan jika kita membenarkan perasaan benci dan syak wasangka meresap ke dalam hati sanubari kita,” katanya dalam perutusan Hari Krismas 2017 yang akan disambut esok.

Menurut Musa, kerajaan hari ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja terus mempromosikan semangat toleransi, bahkan berusaha menyuburkan semangat penerimaan terhadap kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini.

“Kesaksamaan setiap rakyat Malaysia haruslah sama rata dan kita perlu menghormati satu sama lain walaupun mempunyai kepercayaan, budaya dan tradisi berbeza.”

Musa juga mengingatkan rakyat menggunakan kebijaksanaan ketika menggunakan media sosial, terutama dalam konteks membezakan mesej, maklumat benar dan palsu yang sering ditularkan secara berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, rakyat perlu menolak sebarang maklumat berunsur politik kotor yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan disebar pihak tertentu untuk mencapai agenda tersembunyi mereka.

“Kita sedar terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menimbulkan perasaan tidak percaya dengan tujuan merosakkan perpaduan sesama kita.”

Dalam pada itu, Musa turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga demi tugas dan tanggungjawab untuk memelihara keamanan serta kedaulatan negara.

Katanya, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bukan sahaja memberikan keyakinan kepada rakyat, tetapi memastikan pertumbuhan dan peningkatan ekonomi seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk meningkatkan mata pencarian rakyat.

Tiada ulasan: