HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Disember 2017

Jom Ke Sekolah Felda bantu 12,500 murid tahun satu 2018



Jom Ke Sekolah Felda bantu 12,500 murid tahun satu 2018

Seramai 12,500 murid tahun satu generasi Felda seluruh negara menerima sumbangan kelengkapan persekolahan 2018 daripada Kumpulan Felda menerusi program Jom Ke Sekolah baru-baru ini.

Sumbangan yang disalur dan diagihkan menerusi Yayasan Felda itu melibatkan peruntukan dana sebanyak RM1.875 juta bagi membeli kelengkapan persekolahan serta menyasarkan 270 sekolah harian yang beroperasi di kawasan rancangan Felda.

Pengerusi Yayasan Felda Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata program itu bermatlamat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa terlibat khususnya di kawasan rancangan itu dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka ke tahun satu pada sesi persekolahan akan datang.

“Sumbangan seumpama ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah pun dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini di 11 wilayah Felda termasuk di Sabah.

“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami di Felda dalam memastikan kebaikan dan kesejahteraan warganya sentiasa diberi perhatian dan dititik beratkan, memandangkan musim persekolahan baharu 2018 akan bermula,” katanya.
 
Beliau ditemui pada Majlis Sumbangan Pakaian Peralatan Sekolah Murid Tahun Satu Generasi Baharu Felda Sesi 2018 di Dewan Semai Bakti Felda Linggiu, Kota Tinggi di sini Ahad

Majlis itu dirasmikan Timbalan Speaker Negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Panti Datuk Baderi Dasuki.

Pada majlis itu, Baderi menyerahkan peralatan dan kelengkapan sekolah berupa pakaian seragam, kasut dan beg sekolah serta peralatan alat tulis kepada 325 murid tahun satu dari tujuh sekolah Felda dalam kawasan Tenggara.

Tiada ulasan: