MAHATHIR tetap Mahathir, jika anda mengkaji dengan mendalam biografinya dengan objektif, maka anda melihat tampang hitam dan putih ini bukan terlalu sukar untuk dibedakan. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri negara ini, dalam kepesatan pembangunan yang berlaku tetapi rejimnya menyubur rasa takut rakyat untuk bersuara melalui undang-undang drakonian.
Penyalahgunaan kuasa dengan timbunan
skandal besar bersalut KKN negara dibungkus rapi dengan program dan
slogan muluk-muluk seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, slogan
"Bersih,cekap dan amanah", kepimpinan melalui teladan dan pelbagai
slogan yang meloyakan. Sangat paradoks!.
Beliau tetap beliau, tiada yang berubah walau disintuk limau oleh
penyokong PH dan anak muda kail sejengkal yang tidak merasai keperihan
di zaman Dr Mahathir. Bagi saya, dia adalah liabiliti dalam gerakan
oposisi untuk menjatuhkan BN. Dilihat tidak harmoni dengan istana, pihak
keselamatan negara, agamawan apabila memimpin oposisi, bahkan di zaman
beliau di merak kuasa, beliau bermusuh dengan semua Timbalan Perdana
Menteri dan pantang ditegur!
Kelmarin, onarnya terserlah lagi
dengan tuduhan tajam terhadap PAS dan pihak yang tidak menyokong beliau,
ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal
Convention Center, Shah Alam. Muntahan maafnya di perhimpunan kelmarin
hanya sekadar strategi politik dan opera sebuah kegilaan kuasa yang tak
pernah diredam. Dalam maaf itu, kesumat dendam dihamburkan tanpa segan
silu dengan fitnah:
(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”.
(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”.
(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana
pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”.
(4) Memfitnah mufti-mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali.
Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan Pemuda
PAS di bawah ISA, antaranya Ustaz Abu bakar Chik, Ustaz Abdul Latif
Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang
tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal
menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh
penyokong-penyokongnya yang setia.
UMNO Kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.
UMNO Kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.
Dalam perhimpunan agung UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO
Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz
Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada
tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil
Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang
aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut,
Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini,
apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .
Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985
berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot
ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di
Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz
Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema
dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan
anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum
terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai
tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan
pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama
pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya
Juneid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.
Dr Mahathir dalam usaha mensucikan diri, sekali lagi menyalahkan apa
yang dinamakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai pemicu kepada tragedi
pembantaian kejam 19 November 1985, bahkan diseret sekali pihak
mufti-mufti untuk memikul beban kesalahan beliau. Suruhanjaya Siasatan
Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa
tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa
serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat.
Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan
berulang lagi di tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan