HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Disember 2017

PRU 14 : PKR Tiada Masalah PAS Mahu Bertanding Bersendirian



KOTA BHARU – Tindakan Pas untuk bertanding sendirian pada PRU14 nanti tidak menimbulkan masalah kepada Pakatan Harapan kerana Pas buat masa ini tidak berada dalam gabungan Pakatan Harapan.

Pengarah Komunikasi Keadilan Negeri, Mohd Sukirman Mustapa berkata, walaupun tindakan itu akan mengakibatkan berlakunya perlawanan tiga penjuru dan mungkin akan merugikan sesetengah pihak, namun ia tidak memberi masalah kepada Harapan.

“Pilihan raya dijangka akan berlangsung dalam tempoh 150 hari lagi dari sekarang. Jadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kita di barisan pembangkang mahu menumpaskan BN dan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Kita mahu stabilkan kembali ekonomi dan memperbaiki urus tadbir yang telah dirosakkan,” katanya.

Beliau mengulas kemungkinan Pas bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mahu meletakkan calonnya bertanding di lebih 130 kerusi parlimen seluruh negara pada PRU14 pada kali ini.

Perkara itu dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberitahu Pas akan bertanding sebanyak yang mungkin kerusi.

Sukirman berkata, PKR menghormati keputusan Pas itu, namun tetap berpendirian perlawanan dua penjuru melibatkan blok kerajaan dan pembangkang lebih baik daripada tiga penjuru tersebut.

Malah beliau memberitahu, ia akan memberi lebih kelebihan kepada pengundi untuk membuat pilihan dengan tepat tanpa ragu-ragu terutamanya dari aspek pentadbiran itu sendiri.

“Diakui negara berada dalam krisis ekonomi yang agak teruk bilamana ramai yang hilang pekerjaan, kadar jenayah yang meningkat dan berlakunya inflasi bila kuasa beli semakin menurun. Saya yakin pengundi akan lebih bijak memilih selepas ini,” katanya – SH

Tiada ulasan: