BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
berkata pendirian Malaysia menentang pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai
ibu negara Israel dibuat atas dasar kemanusiaan bagi mengelakkan
penduduk Palestin terus ditindas rejim Zionis.
Ujarnya, Malaysia juga membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat
(AS) Donald Trump membuat pengiktirafan sedemikian kerana ia berkaitan
Islam yang menganggap Baitulmaqdis antara kota suci umatnya.
Sehubungan itu, beliau mengulangi gesaannya meminta rakyat Malaysia
tanpa mengira kaum dan agama bersama kerajaan dalam menentang tindakan
Trump itu.
“Isu tersebut bukan isu agama semata-mata, justeru itu, menentang
(tindakan Trump) bukan hanya perlu dilakukan umat Islam, sebaliknya
semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan malam sempena
sambutan Hari Krismas anjuran Persatuan Paderi-paderi Kristian Hilir
Perak di Hutan Melintang, malam tadi.
Zahid juga menyuarakan kebimbangan Malaysia yang tindakan Trump itu mungkin mempunyai kepentingan peribadi.
“Saya bimbang ia adalah agenda peribadinya,” katanya sambil mengajak
semua lapisan masyarakat negara ini menyokong solidariti untuk rakyat
Palestin.
Sehubungan itu, beliau meminta semua rakyat Malaysia supaya saling
menghormati agama masing-masing serta mengelak membuat tafsiran salah
tentang sesuatu agama.
“...begitulah, perayaan Krismas jangan disalah tafsir. Kita ada
pelbagai perayaan dan agama (seperti) Hindu, Buddha tetapi untuk
menghormatinya, perlulah melalui komitmen, bukan sekadar perkataan,”
katanya.
Dalam pada itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, Malaysia
tetap menentang sebarang bentuk keganasan dan komited membanterasnya
daripada menular dalam negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan