HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Disember 2017

Menongkah arus keluarga Umno

DETIK DAILY

 
Oleh ZAILI MUHAMMAD 

BELIAU membesar di dalam keluarga yang kuat dengan ‘pegangan’ Umno. Namun beliau nekad untuk meninggalkan parti tersebut yang dirasakan tidak mempunyai nilai perjuangan.

Tarikh 8 Ogos 1988 menjadi detik bersejarah buat Ramli Dalip, 65, apabila menyertai PAS selepas kes penyingkiranTun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum itu beliau sering mengikut abang iparnya, mantan Exco Kerajaan Negeri Melaka Dato’ Samad Kassim dan kakak iparnya, mantan Ketua Wanita Melaka, Hazizah Mohd Sultan di dalam program-program Umno.

“Saya dikelilingi ahli keluarga yang kuat Umno dan selalu ikut dalam program-program mereka namun saya merasakan ianya tidak sesuai dengan jiwa saya apatah lagi selepas kes Tun Musa Hitam.

“Saya melihat ianya jauh dari ciri-ciri Islam yang sebenar apatah lagi ketika bekerja di Kuala Lumpur saya selalu mendengar kuliah di rumah Pak Yazid di Kampung Baru dan khutbah Ustaz Dato’ Fadzil Noor di Universiti Tekonologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak,” jelasnya.

Menceritakan penglibatan awalnya bersama PAS, Yang Dipertua PAS Bukit Katil ini terlibat secara langsung pada Pilihan Raya Umum ke- 8 pada 1990 sebagai Penolong Setiausaha PAS Kawasan Batu Berendam pada masa itu dan sekarang ini dikenali sebagai PAS Kawasan Bukit Katil.

Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan dan sekarang ini dipertanggungjawabkan memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Kawasan.

“Peristiwa manis sepanjang berjuang dalam PAS ialah ketika pengumuman kemenangan PAS di Dun Bukit Baru melalui calonnya, Dr Mohd Khalid Kassim dan Parlimen Bukit Katil di bawah Samsul Iskandar Mat Akin pada jam 1.30 pagi di Rumah Media, Ayer keroh.

“Baru terasa manisnya perjuangan ini apabila penat lelah kita sepanjang berkempen akhirnya berhasil mencapai kemenangan yang dihajati selama ini dan lebih menarik lagi kemenangan PAS Bukit Baru merupakan ‘anak sulung’ PAS Melaka,”ujarnya yang juga Pesara Pembantu Perpustakaan Awam Melaka.

Peletakan jawatan beramai-ramai Yang Dipertua PAS Bukit Baru dan hampir separuh daripada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan tersebut pada 2015 meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat Ramli yang ketika itu diamanahkan sebagai Naib Yang Dipertua kawasan.

Namun perkara itu tidak mematahkan semangat Ramli bersama AJK yang masih setia dengan PAS untuk mengorak langkah dan kembali membina kekuatan untuk terus istiqamah memperjuangkan Islam yang dibawa PAS.

Jika suatu ketika dahulu beliau telah nekad untuk meninggalkan parti yang tiada hala tuju perjuangan Islam, beliau tidak akan meninggalkan parti yang sudah sebati dengan jiwanya dan menemukan beliau dengan perjuangan yang sebenar.

Tiada ulasan: