HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

Dr M harap Forest City betul-betul jadi ‘forest’ dihuni ‘monyet’

 
Bekas perdana menteri meneruskan kritikan terhadap projek usahasama China-Malaysia di Johor itu.
 
 
tun-m-forest-city-johor

SHAH ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kritikan terhadap pembinaan projek usahasama China-Malaysia, Forest City, di Johor.

Beliau membuat kritikan itu dalam ucapan kepada perwakilan PPBM mengenai penjualan tanah kepada orang asing dan hasilnya digunakan untuk membayar hutang.

“Habislah tanah kita akan dijual, tidak kiralah Forest City, saya harap Forest City akan betul-betul jadi ‘forest’ (hutan)…penduduknya akan terdiri daripada kera, monyet dan sebagainya,” katanya mesyuarat agung pertama PPBM di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.

“Kita sepatutnya sedar bahawa kalau kita jual tanah kepada orang, kita sudah tidak miliki lagi tanah itu. Pada suatu ketika dahulu, dijualnya pulau Temasik yang sekarang dikenali sebagai Singapura.

Kita jual tanah kepada British…dapat 60 ribu ringgit…sekarang bukan negara kita dah.”

Ini bukan kali pertama bekas perdana menteri itu mengkritik projek bandar pintar AS$100 bilion itu.

Dibina atas 4 pulau buatan dan dengan keluasan 1,385.6ha, bandar futuristik berhampiran Johor Bahru itu dijangka siap dalam tempoh 20 tahun dan boleh menempatkan kira-kira 700,000 orang.

Forest City yang menyaksikan ribuan unit pangsapuri terjual sejak pembinaan dimulaikan tahun lepas mencetuskan gempar apabila pembeli berpotensi dari China berpusu-pusu ke zon Iskandar Malaysia itu. Dr Mahathir memberi amaran pembangunan itu seperti enklaf warga asing.

Sultan Johor dilaporkan tidak senang dengan penentangan Dr Mahathir terhadap projek itu. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata projek itu meningkatkan nilai hartanah di Johor dan akan memberi hasil lumayan kepada kerajaan negeri.

Sultan Ibrahim turut menafikan tanah dijual pada warga asing, kerana yang dijual ialah strata ialah strata itu untuk pemilikan kekal di Johor.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: