HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Disember 2017

Felda tak sunyi dari kontroversi sepanjang tahun

 
Sejak pelantikan pengerusi baharu, Shahrir Abdul Samad, media tidak pernah sunyi dengan siasatan demi siasatan ke atas Felda, anak syarikatnya dan individu berkaitan Felda.


Shahrir-Abdul-Samad-smart-township-felda

PETALING JAYA: Mungkin 2017 bukan tahun terbaik buat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang tak sunyi daripada kontroversi sepanjang tahun.

Sejak pelantikan pengerusi baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada Januari, media melaporkan siasatan demi siasatan ke atas Felda, anak syarikatnya, dan individu berkaitan Felda, termasuk bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Berikut adalah kronologi beberapa peristiwa penting membabitkan Felda sejak Januari hingga Disember.

2 Januari – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures (FGV), anak syarikat Felda, Datuk Zakaria Arshad meletakkan keyakinan tinggi untuk muncul sebagai sebuah organisasi kukuh dan efisyen.

6 Januari – Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Tan Sri Isa Abdul Samad yang tamat tempoh perkhidmatan.

Isa masih memegang jawatan pengerusi FGV.

17 Januari – Shahrir mengumumkan akan menjual hotel milik Felda di London bagi mendapatkan sumber kewangan dan aset berkenaan tidak memberi pulangan yang banyak.

25 Januari – SPRM menahan 4 pegawai dan seorang bekas pegawai Felda dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta sejak 2014.

29 Januari – Shahrir mendedahkan beliau menerima jawatan Felda kerana melihat agensi itu satu usaha yang berjaya sehinggakan menjadi institusi ekonomi dan sosial pada masyarakat Melayu.

“Selain itu, saya juga mendapat gambaran bahawa ia (Felda) dalam bahaya. Saya menerima pandangan itu,” kata Shahrir lapor Sinar Harian.

16 Februari – Isa menegaskan FGV tidak pernah rugi dalam urusan perniagaan cumanya kadang-kala keuntungan yang diperoleh tidak besar.

20 March – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menyatakan Felda dan anak syarikat mencatatkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan sahamnya dalam FGV.

3 April – Shahrir mengesahkan Felda masih mempunyai aset bernilai RM22 bilion sekaligus menafikan bahawa institusi berkenaan dalam keadaan tenat.

6 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden FGV Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta.

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

7 Jun – Kerajaan Persekutuan melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas bagi meneliti penggantungan Zakaria dan Ahmad Tifli.

8 Jun – SPRM mula menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat Felda di Kuala Lumpur bagi menyiasat dokumen berkaitan siasatan terhadap FGV. Isa menegaskan tidak melakukan kesalahan.

14 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Idris Jala yang dilantik sudah menyiapkan laporannya.

19 Jun – Najib mengumumkan Isa bersetuju untuk melepaskan jawatan pengerusi FGV berkuat kuasa serta merta.

21 Jun – Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Shaliza Mohd Khalid hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dan rasuah dalam FGV.

14 Julai – Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan siasatan terhadap pembelian hotel 4 bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara tahun 2013 dan 2015.

Siasatan dibuat susulan maklumat baharu diperoleh dalam siasatan terhadap Felda. “Berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit,” kata SPRM.

17 Julai – SPRM merampas 3 buah kotak dipercayai dokumen berkaitan pembelian hotel di London.

22 Julai – Dua pegawai kanan syarikat berasingan direman 6 hari bagi membantu siasatan kes pembelian hotel di London.

27 Julai – SPRM menyiasat sebuah lagi hotel di Kuching, Sarawak yang dibeli FIC pada 2014, susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London.

“Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit,” kata SPRM.

28 Julai – SPRM menyerbu 6 syarikat termasuk firma audit antarabangsa yang mempunyai hubung kait dengan pembelian hotel di Kuching.

29 Julai – SPRM menahan 3 individu bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel di Kuching pada 2014.

4 Ogos – Peguam dan pembantu wanita direman 5 hari bagi membantu siasatan pembelian hotel di London.

15 Ogos – Isa ditahan SPRM selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM dipercayai berkaitan pembelian hotel oleh FIC.

16 Ogos – Isa direman selama 5 hari setelah SPRM berjaya mendapat perintah dari mahkamah bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel di London.

8 September – Najib mengumumkan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi FGV menggantikan Isa.

12 Oktober – Shahrir mengumumkan penjualan Grand Plaza Serviced Apartments di London dalam inisiatif menyusun semula aset dan langkah penstrukturan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Felda.

5 Disember – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis Rusnizam Mahat membayar Felda dan FGV RM2 juta berhubung laporan yang diterbitkan dalam akhbar Suara Keadilan.

21 Disember – Felda buat laporan polis tentang kemungkinan penipuan melibatkan pemaju induk untuk projek yang dibina atas tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Felda dilaporkan bakal kehilangan hak milik tanah itu susulan pertukaran hak milik menerusi transaksi yang meragukan sejak 2015.

23 Disember – Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak milik tanah.

Nilai tanah Felda itu dianggarkan 4 kali lebih tinggi dari nilai yang dilakukan dalam urus niaga berkenaan iaitu RM270 juta. Penilai bebas menganggarkan harga tanah itu ketika ini mencecah RM1 bilion.

27 Disember – Noor Rashid berkata polis akan memanggil Isa bagi membantu siasatan ke atas kes kehilangan hak milik tanah.

Shahrir menganggap usaha mendapatkan kembali tanah Felda yang dipindah milik melalui transaksi diragui adalah isu terakhir untuk diperjuangkannya dalam meletakkan kembali Felda di landasan betul.

“Isu ini paling rumit. Isu lain adalah pembelian Hotel Grand Plaza Kensington Hotel dan hotel di Kuching…Semua ini saya buat dalam tempoh tahun pertama saya sebagai pengerusi Felda,” kata Shahrir lapor Bernama.

Tiada ulasan: