Oleh Athirah Hanapiah dan Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr
Mahathir Mohamad mengesahkan dirinya akan bertanding dalam Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Mantan perdana menteri itu memberitahu, dirinya akan bertanding sama
ada di Langkawi, Kubang Pasu ataupun Putrajaya, selepas parti merasakan
peluang beliau untuk menang di kawasan-kawasan berkenaan adalah cerah.
"Saya akan bertanding dan saya akan bertanding di tiga kawasan
berlainan. Mereka memberitahu bahawa saya ada peluang besar untuk menang
di kawasan Langkawi, Kubang Pasu, dan Putrajaya. Jadi bersedia untuk
itu dan saya tidak akan mengalah,"katanya dalam sidang media pada
Perhimpunan Tahunan PPBM di sini hari ini.
Beliau sebelum ini pernah menyatakan tidak menolak kemungkinan untuk
bertanding di kerusi Langkawi atau Putrajaya, jika diminta Pakatan
Harapan (PH).
Bagaimanapun beliau masih belum memberikan keputusan muktamad terhadap perkara itu.
Untuk rekod, Dr Mahathir pernah memegang kerusi Kubang Pasu selama tujuh penggal.
Sementara itu, ketika ditanya sekiranya beliau bersedia untuk menjadi
perdana menteri sementara bagi PH jika gabungan itu berjaya menakluk
Putrajaya, beliau bagaimanapun dilihat seakan cuba mengelak daripada
menjawab perkara tersebut.
"Semua perdana menteri sementara, dia bagi lima tahun, kadang-kadang
kurang, kalau sakit dia berhenti sikit, kalau mati susahlah
sikit,"kiasnya.
Baru-baru ini, nama Tun Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut menjadi calon
perdana menteri interim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
(Presiden PH) sekadar dilantik sebagai calon timbalannya.
Cadangan itu dibuat sewaktu permukiman PH selama dua hari di Putrajaya
baru-baru ini, namun dikatakan beberapa pemimpin PH tidak merestui
cadangan berkenaan.
Konvensyen PH yang bakal diadakan 7 Januari depan pula dikatakan bakal
menamatkan tanda tanya berkenaan siapakah calon perdana menteri mewakili
gabungan itu memandangkan PRU14 bakal diadakan pada bila-bila masa.
Ia sebagai alternatif bagi menggantikan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara.
Perkara itu sebelum ini disahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
yang berkata, pihaknya sudah mempunyai pilihan lain yang akan
menggantikan Anwar yang sebelum ini diletakkan sebagai calon perdana
menteri jika PH memenangi PRU14 kelak.
Dalam perkembangan berlainan, Dr Mahathir hari ini turut menafikan
dakwaan blogger kontroversi, Taja Petra Kamarudin kononnya beliau sedang
merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak, bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz.
Ujarnya, blogger itu 'tidak betul' dan mabuk' malah, senjaga untuk memburukkan dirinya atas arahan pihak tertentu.
"Saya hairan awak (wartawan) bertanya soalan tentang Raja Petra, dia
itu mabuk, minum selalu, dia tidak bercakap betul, dia tidak tahu apa
sebab dia duduk di London kerana dia dapat sogokan daripada orang
tertentu," katanya.
Terdahulu Raja Petra menerusi blognya, Malaysia Today mendakwa Dr
Mahathir sedang merundingkan persetujuan dengan Najib bagi menyelamatkan
karier politik Mukhriz.
Antara lain, persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai
Timbalan Perdana Menteri II sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan atau Menteri
Dalam Negeri.
Sebagai balasan, Dr Mahathir akan berhenti menyerang Najib dan akan beralih kepada BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan