HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

Penjawat awam terkejut kena penalti bila berpindah tempat kerja, rumah

DETIK DAILY



KUALA LUMPUR: Beberapa penjawat awam terkejut apabila menerima notis penalti ribuan ringgit daripada Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di Jabatan Perdana Menteri kerana berpindah dari kuarters kerajaan atau bekerja di luar 25km radius dari kuarters mereka.

Seorang kakitangan awam, Mohd Fazly Mohd Noor, 43, yang mendiami kuarters kerajaan di ibu negara berkata beliau menerima notis menuntut bayaran penalti RM38,000 selepas beliau diarah berpindah daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di Kampung Datok Keramat, ke Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Putrajaya oleh ketua pengarah Jupem kerana kenaikan pangkat sebagai pegawai kader.

Jurugeospatial mendakwa dia terkejut kerana tidak tahu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putajaya dianggap 2 negeri berbeza oleh BPH, dan telah dimaklumkan hilang kelayakan menduduki kuarters dan perlu membayar penalti kadar sewa pasaran semasa dari tarikh melaporkan diri di Putrajaya.

Akibatnya, kehidupan Fazly sekeluarga huru hara kerana tidak tahu bagaimana hendak membayar penalti itu.

“Persepsi daripada rakan setugas mengatakan saya ini bermasalah disebabkan saya sengaja lari daripada peraturan BPH sedangkan saya langsung tidak tahu,” katanya kepada FMT.

Menurut Fazly, beliau mendapat tahu mengenai penalti pada Februari tahun ini, tetapi penalti mula dikenakan ke atasnya pada Mei 2015 selepas melapor diri.

“Penalti ini langsung tidak diberi pertimbangan untuk dikurangkan atau dikecualikan, dan saya perlu membayar keseluruhan jumlah yang dikenakan secara potongan gaji maksimum 60 bulan,” tambahnya.

Fazly antara 500 kakitangan awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bertemu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di ibu negara hari ini bagi mencari penyelesaian kepada isu penalti.

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda menyifatkan penalti yang dikenakan adalah tinggi dan pihaknya mahu bertemu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa untuk membincangkan masalah ini.


Mohd-Fazly-Mohd-Noor
Mazwan menunjukkan notis yang diberikan BPH.

Seorang lagi kakitangan awam, Mazwan Abdullah, 35, pula mendapat notis penalti RM17,000 apabila mahu berpindah rumah. Penolong jurutera di Kementerian Kerja Raya itu juga berkata tdak ada mana-mana pihak memaklumkan tentang penalti sebelum ini.

“Saya nak keluar kuarters Putrajaya kerana nak masuk rumah baru Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). Saya isi borang serah kunci, dan dari situ, BPH terus keluar notis pengosongan dengan caj RM17,000,” katanya

“BPH kata saya hilang kelayakan sebab saya berpindah ke Kuala Lumpur,” katanya, dan menambah beliau dikenakan caj itu pada Jun 2016 dan diberi tempoh sehingga November tahun ini untuk membayar caj itu.

FMT gagal menghubungi BPH untuk mendapatkan respon kepada isu ini.



Tiada ulasan: