Ibu,
Noraini ahmad, (kiri) mencium anaknya, Wan Nur Iman Wan Mohd Syukri
(kanan) yang cacat penglihatan selepas menerima beg sekolah baharu pada
Program Kembali ke Sekolah untuk anak-anak kanser KIDS 2017 di Hotel
Kuala Lumpur International, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap
panyakit kanser dinasihatkan agar tidak terlalu kecewa dengan ujian yang
dihadapi sebaliknya, perlu mendepani semua itu dengan tabah.
Malah, mereka tidak wajar untuk menyalahkan takdir dan ketentuan Allah kerana apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya.
Nasihat itu diberikan oleh penjaga yang mempunyai anak penghidap kanser ketika ditemui MalaysiaGazette pada Majlis ‘Kembali Ke Sekolah Anak-anak KIDS 2017’ di sini hari ini.
Seorang guru Sekolah kebangsaan Kuang yang mempunyai anak menghidap
kanser mata, Noraini Ahmad, 42, berkata, ujian yang dihadapinya itu
dilalui dengan hati terbuka.
Katanya, tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana penyakit
yang dihidapi oleh bongsunya itu merupakan qada dan qadar Allah.
Menceritakan pengalamannya menjaga anak syurganya itu, Wan Nur Iman
Wan Mohd Shukri, 6, Noraini berkata, dia dan keluarganya redha dengan
ujian tersebut.
Katanya, Wan Nur Iman yang pada mulanya dikesan menghidap penyakit
berkenaan pada bahagian sebelah mata bagaimanapun disahkan oleh doktor
bahawa sebelah lagi matanya turut mengalami masalah sama.
Meskipun pada mulanya mengalami kesukaran untuk menjaga anaknya yang
menderita penyakit itu, Noraini berkata, jika seseorang itu redha dan
berserah kepada Allah segala yang dilalui akan dipermudahkan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang mendapat perkhabaran bahawa
anaknya diserang kanser agar bertemu dengan pakar-pakar bagi mendapatkan
maklumat serta sokongan moral untuk menguatkan semangat dalam mendepani
insan yang tersayang. Asiah Musa
Suri rumah, Asiah Musa, 33, pula memberitahu, pada mulanya dia tidak
dapat menerima anaknya diserang kanser setelah disahkan oleh pihak
hospital.
Katanya bagaimanapun, selepas mendapat khidmat nasihat daripada pihak
Hospital Kuala Lumpur (HKL) tempat di mana anaknya mendapatkan rawatan,
akhirnya dia akur dengan ujian Allah itu.
Katanya, dia sering menitipkan doa buat anaknya agar diberikan
kesembuhan oleh Allah atas penderitaan akibat penyakit yang dialami itu.
Sementara itu, seorang pembantu kedai perabot, Izham Abd Majid, 36,
berkata, sebagai bapa yang hanya mempunyai seorang anak tunggal,
pemberitahuan oleh pihak hospital bahawa anaknya menghidap kanser sudah
tentu meruntun hatinya.
Ujarnya, dia dan isterinya sangat sedih mendengar berita daripada
doktor yang merawatnya dan ketika itu dia tidak dapat menggambarkan
perasaan kecewanya. Izham Abd Majid
“Apa yang boleh saya katakan, air mata ini tidak terhenti berlinangan sejak beberapa hari.
“Tapi, sampai bila saya harus begitu. Ini semua kuasa tuhan. Saya dan isteri redha apa yang telah diberi kepada keluarga kami.
“Sekarang ini hanya pastikan anak tunggal kami ini sentiasa mendapat rawatan yang sewajarnya,” ujarnya.
Hari ini, seramai 150 orang pesakit kanak-kanak yang menghidap kanser
diraikan dalam satu majlis ‘Kembali Ke Sekolah Anak-anak Kanser KIDS
2017’ di sebuah hotel di ibu negara.
Majlis kali kelima anjuran Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak
Kanser (Kids) itu dibuat bagi mengeratkan silaturahim antara keluarga
pesakit kanser dan memberi semangat kepada kanak-kanak pesakit berkenan
bahawa kehidupan mereka bukan setakat berada di dalam wad. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan