Ia meliputi 9 aduan dari Johor Bahru, 6 dari Pontian dan 1 dari Batu Pahat.
KULAI: Sebanyak 16 aduan berkaitan susu rumusan bayi dipercayai tiruan diterima setakat ini daripada pengguna, susulan rampasan produk berkenaan awal bulan ini, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Khairul Anwar Bachok.
Beliau berkata, aduan tersebut meliputi 9 aduan dari Johor Bahru, 6 dari Pontian dan 1 dari Batu Pahat.
“Kita telah buat pemeriksaan di premis-premis dan ambil sampel susu untuk dihantar ke makmal Jabatan Kimia untuk diperiksa kandungannya,” katanya selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2017 peringkat Johor di sebuah pusat beli-belah di Senai, hari ini.
Berhubung ujian sampel susu rumusan bayi yang dirampas pada 7 Disember lalu, beliau berkata, keputusan sampel susu berkenaan hanya akan diketahui pada minggu depan.
Menurutnya, ibu bapa yang meragui susu rumusan bayi adalah tiruan, boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNKK negeri untuk tindakan susulan.
Khairul Anwar berkata, peniaga yang tidak bertanggungjawab dan didapati terbabit dalam penjualan susu rumusan bayi dipercayai tiruan akan didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Pada 7 Disember lalu, KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang dipercayai tiruan dengan nilai anggaran RM42,000 selepas menerima aduan daripada pengeluar susu rumusan bayi jenama berkenaan yang mendapat aduan pengguna.
Berhubung skim kawalan harga itu yang bermula semalam dan akan berakhir 27 Disember ini, beliau berkata, pegawai KPDNKK ditempatkan di lokasi tumpuan ramai membeli-belah untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
Sementara itu, katanya, sehingga 30 November lalu, KPDNKK Johor menjalankan 35,000 pemeriksaan di seluruh negeri dan berjaya merampas barangan bernilai RM1.64 juta membabitkan kesalahan antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat.
Dalam pemeriksaan itu, katanya, sebanyak 769 kes atau peniaga didapati melakukan kesalahan dengan 523 daripadanya dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan, manakala bakinya dalam proses dikompaun atau dibawa ke mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan