HALAMAN SANTAI
Rabu, 28 Februari 2018
2 amah Indonesia dilapor dikurung majikan
PETALING JAYA: Seorang ahli jawatankuasa ke-9 Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia berkata polis Malaysia berjaya menyelamatkan 2 warga Indonesia yang didakwa dikurung di kantin sebuah sekolah tempat mereka bekerja oleh majikan.
Portal Indonesia, Republika Online memetik Irma Chaniago sebagai berkata Siti Hartati Madwiharja, 23, dan Rosidah, 38, diselamatkan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada seorang pengadu di Balai Polis Ampang Jaya.
Majikan mereka, Sun Yuk King, direman 4 hari untuk siasatan. Kes ini merupakan yang terbaru dilaporkan selepas seorang warga Indonesia, Adelina, yang didakwa didera dan meninggal dunia 11 Februari lalu.
“Ini adalah kes kedua selepas kes Adelina Lisao. Banyak mangsa penyeludupan manusia dan pekerja haram berlaku di Malaysia. Ini tidak boleh dibiarkan kerana ia termasuk dalam kategori penghambaan dan buruh paksa,” kata Irma lapor portal itu.
Siti dari Jawa Tengah bekerja sejak 31 Januari dan Rosidah dari Nusa Tenggara Barat bekerja sejak 5 Mac 2016. Menurut laporan itu, mereka dikerah bekerja bermula 3.00 pagi hingga 7.00 malam dan setelah selesai bekerja dikurung di dapur berjeriji besi yang dikunci dan semua pintu dan tingkap ditutup.
“Mangsa menangis dan meminta bantuan kepada pengadu. Pekerja wanita tersebut tidak dibolehkan keluar oleh majikan selama 2 tahun dan seorang lagi selama 3 minggu,” kata pengadu, Fajar Santodi.
Majikan diberkas dan dibawa ke balai polis manakala Siti dan Rosidah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan.
Menurut portal itu, selepas diperiksa di mahkamah, Siti dan Rosidah diyatakan sebagai mangsa pemerdagangan manusia dan ditempatkan di rumah perlindungan untuk wanita.
Baru-baru ini, Adelina Lisao, atau nama sebenarnya Adelina Jerima Sau, 26, meninggal dunia akibat kecederaan di Hospital Bukit Mertajam.
Pada 21 Februari lalu, majikannya, Jayavartiny Rajamanickam, 36, didakwa di mahkamah kerana mengambil bekerja pekerja asing yang tidak memiliki permit yang sah, sementara ibu majikan, Ambika MA Shan, didakwa kerana membunuh.
Di Indonesia, polis dilaporkan berjaya menahan 2 suspek yang didakwa terlibat dalam penghantaran Adelina ke negara ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan