HALAMAN SANTAI
Ahad, 25 Februari 2018
Tsunami Melayu : DAP Tonjolkan PPBM Selepas Amanah Gagal
Lee Chai Kee – WALAUPUN mengaku sebagai sebuah parti berbilang kaum, DAP sedar pengaruhnya hanyalah terhad di kalangan bukan bumiputra, terutamanya Cina, itu pun di kawasan demografi tertentu sahaja. Ia sedar ia perlu berganding bahu dengan parti-parti lain untuk pergi lebih jauh.
Sebab itulah DAP senantiasa bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dan sesiapa pun yang berupaya menambah pengaruhnya serta membantu dari segi survival politiknya.
Parti-parti yang pernah atau sedang bersekongkol dengannya termasuklah Semangat 46, PAS, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Namun DAP pada hakikatnya bukanlah sebuah parti yang mengenang jasa pihak yang pernah membantunya. Perceraiannya dengan PAS merupakan contoh paling baik bagaimana sepah dibuang selepas habisnya madu.
DAP telah mendapat kerusi terbanyak di kalangan parti-parti pembangkang pada PRU yang lepas. Ini telah menyebabkan pemimpin-pemimpinnya berasa besar kepala dan bertindak sesuka hati. Mereka beranggapan merekalah yang telah membantu PAS memperluaskan pengaruh ke Pantai Barat.
Mereka mahu PAS mengikut telunjuknya sebagai ‘abang sulung’, terutamanya dalam soal pembentangan usul persendirian Rang Undang-Undang 355 (RUU355) walaupun telah menandatangani perjanjian bahawa kedua-dua DAP dan PAS bebas mengejar agenda dan wawasan masing-masing.
DAP kemudiannya memutuskan hubungan dengan PAS sekali gus mengisytiharkan ‘kematiann’ Pakatan Rakyat secara unilateral. Dan PKR terpaksa akur walaupun sehingga baru-baru ini Timbalan Pesiden PKR Mohamed Azmin Ali masih menaruh harapan untuk mencapai sesuatu pakatan sulit dengan PAS.
Memang benar DAP telah menguatkan PAS. Tetapi PAS juga mempunyai penyokong-penyokong tegar yang telah membantu memenangkan calon-calon DAP pada waktu yang sama.
DAP sedar bahawa permusuhannya dengan PAS bakal menyebabkan kehilangan undi Melayu, sebab itulah ia begitu menyayangi Amanah, parti serpihan PAS.
Amanah amat berjasa kepada DAP kerana pemimpin-pemimpinnya merupakan golongan liberal PAS yang telah membantu menjalin kerjasama DAP-PAS. DAP juga menaruh harapan besar Amanah mampu menggantikan PAS.
Namun prestasi Amanah dalam dua PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, serta kemampuannya mengerahkan tenaga Melayu untuk perhimpunan raksasa tidak begitu meyakinkan.
Maka apabila Dr Mahathir Mohamad dan pengikutnya menubuhkan PPBM, DAP segera bermesra pula dengan parti baru itu. DAP tidak lagi membantu Amanah sehinggakan Presiden Amanah Mat Sabu mendapat peruntukan kerusi parlimen paling sedikit.
Mustahil, jika DAP sebagai abang sulung turut melobi untuk Amanah. Amanah yang dianggap kurang berpotensi berbanding PPBM kini terpaksalah berjuang bersendirian kerana DAP sudah ada kekasih baru, bagai kacang lupakan kulit.
Tetapi PPBM janganlah terlalu gembira. Jika terjadi parlimen tergantung selepas PRU nanti, DAP berkemungkinan besar akan berpaling tadah dan berunding dengan Barisan Nasional untuk menggantikan tempat MCA, Gerakan dan MIC yang sudah semestinya ‘dihapuskan’ ketika itu.
Ini tidak mustahil akan berlaku kerana DAP sentiasa meletakkan survival politiknya di tempat pertama, dan perkataan budi tiada dalam kamusnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan