HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Februari 2018

Kerajaan tambah elaun SL1M kepada RM2,000

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SERDANG: Kerajaan mengumumkan kenaikan elaun bulanan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) daripada RM1,500 sebelum ini kepada RM2,000.
 
Pengumuman berita gembira untuk pelatih skim itu dibuat Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
 
Lebih 5,000 peserta SL1M yang hadir di majlis berkenaan, bersorak kegembiraan sejurus pengumuman itu.
 
Perdana Menteri berkata, beliau mengumumkan berita baik itu selepas Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, membuat satu permintaan istimewa kepadanya setiba di Dewan MAEPS.
 
"Semasa tiba, saya dibisikkan oleh Hajah Norashikin Ismail untuk umumkan sesuatu sebagai hadiah kepada semua (peserta SL1M).
 
"Jadi, saya dengan ini mengumumkan elaun SL1M akan dinaikkan daripada RM1,500 sebulan kepada RM2,000 sebulan," katanya.
 
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
 
Sementara itu, mengulas pengumuman berkenaan, Abdul Rahman berkata kenaikan elaun itu akan berkuat kuasa pada tahun ini.
 
"Ia akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 25,000 peserta SL1M yang baharu," katanya.
 
Program SL1M yang dilancarkan pada 1 Jun 2011, adalah satu program kebolehpasaran yang bertujuan untuk membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
 
 

Tiada ulasan: