KOTA BHARU – Anggota akar umbi PAS Kawasan Kubang Kerian hari ini mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hasil siasatan terhadap dakwaan kekayaan anggota keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Wakilnya, Azmi Mat Husin berkata kemewahan yang dimiliki oleh keluarga berkenaan sangat luar biasa kerana seorang anak Mahathir, Tan Sri Mokhzani turut tersenarai sebagai antara individu terkaya di Malaysia.
“Saya hairan dengan apa yang dilakukan oleh Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun sehingga anaknya berkemampuan memiliki kekayaan cukup luar biasa.
“Justeru, kami desak agar siasatan SPRM sebelum ini dapat didedahkan kepada umum kerana ramai nak tahu mengenainya,” katanya selepas mengadakan perhimpunan mendesak perkara tersebut di depan Masjid al-Fattah di sini, hari ini.
Kira-kira 20 anggota PAS Kawasan Kubang Kerian turut menyertai perhimpunan secara aman tersebut yang berlangsung selepas solat fardu Jumaat.
Dalam pada itu, Azmi turut menggesa agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis dalam kejadian lebih 30 tahun lepas itu.
Beliau berkata rakyat Malaysia ingin mengetahui kejadian sebenar yang berlaku ketika itu dan mereka yang terbabit dengan kes berkenaan perlu dihukum jika dibuktikan bersalah. – BERNAMA
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan