KUALA LUMPUR – DAP tidak berhak atau mempunyai kuasa untuk menghalang calon daripada mana-mana parti politik untuk bertanding di sesuatu kawasan, kata Tan Sri M. Kayveas.
Parti cauvanis itu dikecam Presiden myPP berikutan tindakan dua pemimpin parti itu yang menyifatkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai ‘perosak’ sambil memberi tekanan mereka berundur dari Parlimen Cameron Highlands.
Kayveas berkata, sikap Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming yang mengecam PSM jelas membuktikan ia sebuah parti pengecut.
“Adakah DAP takut menerima persaingan dan hanya berupaya lawan sekiranya sekadar seorang calon bertanding di kerusi rebutan MIC,myPPP dan PSM.
“DAP seharusnya menerima persaingan di Cameron Highlands bukannya bertindak seperti pengecut memaki hamun calon parti lain dan paksa mereka berundur.
“Saya turun padang di sana selama empat tahun ini dan menganjurkan lebih 600 program kemasyarakatan dan duduk di kawasan enam hari seminggu.
“Biarlah mereka yang hendak jadi calon bekerja keras untuk memberi pilihan kepada rakyat untuk menentukan wakil terbaik mereka. DAP tiada berhak menentukan bilangan calon yang perlu bertanding di kerusi itu,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Malah Kayveas juga membidas sikap seorang lagi pemimpin DAP yang merupakan bekas calon kawasan itu, M, Manogaran yang mendakwa tindakan PSM meletakkan calon akan menjejaskan peluang DAP.
Kayveas berkata, DAP seharusnya menyambut persaingan di Cameron Highlands secara ikhlas.
Kenyataan Manogaran menunjukkan dia seorang pemimpin bersikap angkuh seperti mana partinya yang tidak tahu menghormati orang lain dalam politik.
“Mereka sering menganggap semua pihak termasuk rakyat wajib mengikut apa yang dikatakan oleh mereka dalam DAP dan membuktikan tidak matang berpolitik.
“Sikap parti cauvanis DAP yang memainkan politik murahan ini sangat jelas menunjukkan bahawa ia mahu semua pihak lain memberi laluan mudah kepada calonnya tanpa sebarang masalah dan harapkan calon dia hanya perlu muncul semasa pilihanraya dan rakyat perlu mengundi merekasecara membuta tuli.
“Sudah tiba masanya rakyat melihat belang sebenar DAP yang sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan jajahan dinasti Lim yang kini disertai dinasti Anwar dan dinasti Tun Mahathir sudah,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan