HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Februari 2018

Kejahilan PPBM buat PH turut tempang?

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Pakatan Harapan (PH) kini berbalah sesama sendiri tentang berapa jumlah kerusi DUN dan Parlimen yang bakal setiap parti akan tandingi. Pelbagai hujah dan tuntutan dibuat untuk membolot lebih banyak kerusi untuk parti masing-masing.
 
Ada yang menggunakan hujah ia parti senior di sesebuah negeri maka ia layak mendapat lebih kerusi. Ada yang mendakwa walaupun baru tetapi ia mempunyai pengaruh besar di sesuatu negeri dan malah boleh menggerhanakan pengaruh parti PH lain.
 
Namun yang pasti tidak semua di kalangan empat anggota PH yang bijak dan berhasil mengawal emosi apabila bercakap mengenai berapa kerusi DUN mahupun Parlimen yang patut diagihkan kepada mereka.
 
Lantas kedengaran pelbagai sindiran, perli dan cemuhan sesama sendiri. Ada yang menggelarkan rakan sendiri sebagai badut politik, tidak amanah dan juga jahil berhubung selok belok politik.
 
Keadaan berkecamuk ini berlaku di Selangor, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan pada beberapa ketika di negeri-negeri lain juga. 
 
Perbalahan ini bukan rahsia lagi. Perangai tamak haloba keempat-empat parti – DAP, PKR, PPBM dan Amanah – sudah terserlah jelas dan ia amat bertentangan dengan pengakuan masing-masing untuk bersatu demi menyelamatkan Malaysia. 
 
Tidak cukup perbalahan di antara parti-parti berkenaan, ia juga mencetuskan debat dan tunjuk perasaan di kalangan ahli dan pemimpin setiap parti. 
 
Campur tangan rundingan kerusi
 
Keadaan ini mendorong Majlis Presiden PH mengorak langkah 'campur tangan' dan memberikan ‘bantuan’ kepada mana-mana negeri yang masih gagal memuktamadkan rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bagi mengelakkan permasalahan berkenaan terus membelenggu gabungan itu sehingga memberikan kesan kepada persediaan untuk PRU nanti.
 
"Ada negeri yang dapat selesaikan sebahagian. Bagus, tetapi kalau mereka kata mereka tidak dapat selesaikan dan memerlukan penglibatan 'team' rundingan nasional untuk membantu menyelesaikan masalah, itu juga tidak jadi masalah,” katanya.
 
Lazimnya apabila pergerakan atau pertubuhan politik memerlukan ‘bantuan’ pihak Pusat menyelesaikan masalah mereka itu petanda tidak ada perpaduan dan keselarasan fikiran di kalangan pimpinan negeri.
 
Ini menggusarkan. Di ambang PRU 14, baru parti-parti PH sedar mereka berhadapan dengan penyakit sama – hasad dengki dan tamak haloba. Retorik tentang bersatu menundukkan Umno-BN hanyalah hampas – cakap tidak serupa bikin.
 
Jika menang sekalipun sudah tentu bibit cemburu, dengki dan memandang rendah terhadap parti komponen lain akan menjerumuskan rakyat ke dalam jurang kucar-kacir.
 
Kerusi Kelantan, Selangor belum muktamad
 
PH Kelantan sebelum ini dilaporkan gagal menyelesaikan masalah pertindihan bagi 14 kerusi DUN walaupun sudah enam kali mengadakan pertemuan, sehingga melepasi tempoh asal yang ditetapkan. 
 
Antaranya sembilan kerusi melibatkan pertindihan di antara Amanah dan PPBM, tiga kerusi menjadi rebutan di antara Amanah dan PKR dan dua kerusi di antara PPBM dan PKR.
 
Selain Kelantan, Selangor juga masih gagal memuktamadkan soal rundingan kerusi. Minggu lalu Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin berkata, PPBM memohon 12 kerusi milik BN untuk diletakkan calon mereka.
 
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, PKR juga turut berhasrat meletakkan calon mereka di semua kerusi terbabit.
 
Menurut Sallehuddin, PPBM tidak akan bertolak ansur malah mempertahankan permohonan berkenaan. Sementara itu, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jeyakumar memaklumkan PH Selangor akan menyelesaikan isu berkenaan akhir bulan ini.
 
Katanya, perkara itu masih dalam perbincangan di antara semua parti komponen PH namun beliau percaya, ia mampu dimuktamadkan sebelum Mac ini.
 
"Kita akan selesaikan dalam akhir bulan ini sebab Pengerusi PH Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kata kita kena selesaikan juga di dalam Selangor," katanya. 
 
Xavier memberitahu, baki kerusi yang menjadi pertindihan itu akan dibincangkan selepas perayaan Tahun Baru Cina. Namun, beliau tidak memperincikannya.
 
"Kira-kira 15 kerusi lagi, mungkin.. Mungkin 15 ke 20 kerusi" katanya selepas mesyuarat Isnin lalu.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Agihan Kerusi Selangor minggu lalu menyelesaikan pertindihan empat kerusi DUN, tetapi ada 21 daripada 56 kerusi belum diselesaikan. Empat kerusi itu ialah kawasan yang kini diwakili PAS.
 
Mesyuarat berkenaan turut menyelesaikan isu status quo pada kawasan yang memang dimiliki DAP (15 kerusi), PKR (15 kerusi) dan Amanah (2 kerusi).
 
 
 
Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah 2 kerusi. PAS mempunyai 13 kerusi dan Umno 12 kerusi. 
 
Dua kerusi diwakil ADUN Bebas, iaitu Pelabuhan Klang dan dan Teluk Datok dahulunya kerusi PKR dan DAP.
 
PH mempunyai struktur organisasi yang besar dan dipimpin oleh nama besar seperti Tun Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin. Namun apabila menggerakkan gabungan ini sebagai sebuah entiti politik, ia masih agak ‘hingusan’.
 
PPBM yang baru menyertai PH nampaknya tidak membantu memperkukuhkan PH. Sebaliknya ia menjadi “beban” kini menghadapi cabaran daripada ahli dan bekas ahli yang melihat parti itu tidak menghormati (atau tidak faham) Perlembagaan parti. 
 
Malah menjelang 22 Februari ini Parti Bunga itu akan menghadapi tunjuk perasaan terhadap ‘ketempangan’ ini sambil mungkin dipantau oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan sendiri bagi menyemak rekod demokrasi PPBM dan sekaligus PH.

Tiada ulasan: