KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan pembangunan yang dibawa sepanjang pentadbirannya adalah kerana UMNO memilihnya untuk menjadi perdana menteri, kata
Datuk Othman Abdul.
Ketua Penerangan UMNO Kedah itu berkata, rakyat tidak menafikan pembangunan dibawa oleh bekas perdana menteri tersebut bagaimanapun Mahathir perlu sedar jawatan yang disandang selama 22 tahun adalah kerana ahli-ahli UMNO yang memilihnya.
“Saya nak mengulangi pandangan…kita tidak menafikan segala pembangunan dibuat Mahathir.
“Namun pembangunan itu kerana dia menjadi PM daripada UMNO. Kita memberi kekuatan kepada beliau ketika itu untuk menjadi perdana menteri.
“Maka Mahathir perlu berterima kasih kepada UMNO dan kita ahli UMNO yang membenarkan beliau duduk sebagai perdana menteri,” beliau dipetik berkata hari ini.
Dalam pada itu, Othman juga mempersoalkan tuduhan dibuat oleh Mahathir kononnya negara sedang ‘dijual’ kepada China walhal secara faktanya berbeza sama sekali.
“Ambil contoh muda, hari ini macam-macam tuduhan dan propaganda dibuat kononnya negara tergadai kepada China… pinjaman hutang negara meningkat dan macam-macam lagi dilontarkan dalam usaha mengelirukan rakyat.
“Saya nak tegaskan, pelaburan negara China adalah tempat ke- 10 di Malaysia dan ini adalah fakta,” ujarnya.
Jelas Othman, ketika zaman pentadbiran Mahathir langkah sama pernah dilakukan dengan melantik kontraktor untuk membina bangunan ikonik negara.
“Cuba kita imbau pada zaman Mahathir macam mana? Jambatan Pulau Pinang. Siapa kontraktornya?
Bukankah daripada Korea. Menara Berkembar siapa yang bina? Menara pertama konsortium daripada Jepun, menara kedua syarikat daripada Korea Selatan, Menara Telekom kontraktor utama daripada Korea dan Menara Kuala Lumpur syarikat daripada Jerman.
“Pada masa itu orang tidak bercerita pula negara ‘dijual’ kepada Jepun dan Korea. Ini kerana pada masa tersebut tidak ada iphone..ipad dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan