HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Februari 2018

Pembangkang tidak perlu ditakuti, kata ketua menteri Sabah

Musa Aman_br_sabah
Musa Aman (dua dari kanan) bersama pemimpin-pemimpin parti komponen BN di konvensyen di Kota Kinabalu.


KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional Sabah Tan Sri Musa Aman berkata gabungan pemerintah tidak perlu takut pada pembangkang kerana mereka tidaklah sekuat yang diuar-uarkan.

“Bahagian dan cawangan mereka masih belum lengkap dan ahli-ahli mereka orang-orang yang bersungut (dengan parti lama) dan mahu diletakkan sebagai calon (oleh parti baru),” katanya.

“Sekalipun kita ada masalah dalaman, mereka juga ada masalah dan lebih buruk lagi,” tambahnya.

Berucap di konvensyen jentera pilihan raya Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) hari ini, beliau berkata BN akan menang pilihan raya umum akan datang jika parti-parti komponen saling bekerjasama.

“Kita boleh menang lagi jika kita saling bekerjasama dengan baik kerana kita terbukti sebagai kerajaan.

“Kita menang pilihan raya-pilihan raya lepas tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kemenangan itu kerana lanskap politik sudah berubah dan kita perlu menyesuaikan diri.”

Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup yang berucap bagi pihak presidennya, Tan Sri Joseph Kurup, berkata kesatuan dalam BN mesti benar-benar diamalkan dan bukan sekadar “solekan”.

“Kita harus mengambil berat soal kesatuan dan bukan cuma solekan, contohnya dengan mengamalkan konsep perkongsian kuasa,” katanya kepada perwakilan yang menghadiri konvensyen itu.

“Kita seua harus percaya pada prinsip perkongsian kuasa dengan memanfaatkan kekuatan unik setiap parti komponen di kawasan masing-masing.”

Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kesatuan mesti ditunjukkan kepada rakan-rakan parti.

“Kita mesti bersatu bukan sahaja dalam parti tetapi juga dalam gabungan ini,” katanya.

“Ini satu-satunya cara untuk memenangi semua kerusi pada pilihan raya umum.”

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili menyeru kesatuan maksimum dari semua parti-parti komponen BN.

“Sasaran kita mudah iaitu kesatuan maksimum untuk kemenangan maksimum,” katanya.

“Politik ialah permainan angka jadi kita tidak boleh main-main bagi memastikan kita dapat semua kerusi, terutamanya kerusi yang terlepas kepada pembangkang.”

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut menghadiri konvensyen hari ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan dari parti-parti berasaskan Kadazandusun Murut menyertai majlis itu.


Tiada ulasan: