HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Februari 2018

Ternakan Air Tawar Bakal Manfaat Petak Sawah


Ternakan Air Tawar Bakal Maanfat Petak Sawah

MYNEWSHUB

PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meminta Jabatan Perikanan mengusahakan aktiviti ternakan ikan di kawasan petak sawah yang dilihat mempunyai potensi besar sebagai sumber tambahan bagi penternakan ikan air tawar.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kajian secara terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum melaksanakan penternakan ikan air tawar seperti kaedah penternakan dan penggunaan baja yang sesuai untuk penanaman padi.

Katanya pada masa dahulu, kawasan sawah padi merupakan punca penternakan ikan air tawar secara semula jadi seperti ikan keli, sepat, puyu serta haruan.

“Jika dahulu penanaman padi dilakukan sekali semusim, jadi bekalan air di kawasan sawah berpanjangan tetapi sekarang senario sudah berubah, padi ditanam dua kali setahun jadi air dalam kawasan sawah hanya berada dalam tempoh dua atau tiga bulan sahaja.

“Kemungkinan ikan-ikan itu tidak cukup tempoh untuk membesar mengikut tempoh yang sepatutnya dan perlu dipindahkan ke kawasan lain untuk proses pembesaran.

“Ini memerlukan kajian terperinci sebelum kita melaksanakannya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Touch Point Jom Bertani Kawasan Sungai Manik di Chenderong Balai dekat sini hari ini.

Tajuddin yang juga Anggota Palimen Pasir Salak berkata penanaman padi menggunakan baja secara organik perlu dipraktikkan kerana penggunaan baja kimia dalam ternakan ikan air tawar boleh menyebabkan ikan mati.

“Saya akan meminta Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian melakukan kajian mengenai penggunaan baja organik yang sesuai di kawasan sawah padi supaya tidak mengancam ternakan ikan berkenaan dan kita yang memakannya,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Perikanan akan menyalurkan bantuan benih ikan kepada mereka yang mahu mengusahakan ternakan ikan air tawar di kawasan sawah padi. – BERNAMA

Tiada ulasan: