HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Februari 2018

Hasutan: Mahkamah kekalkan penjara lapan bulan Naib Ketua Pemuda Amanah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar atas kesalahan menghasut.
 
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd. Fakhrulrazi, 40, yang tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2016.
 
Tertuduh menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu siri protes jalanan, tiga tahun lalu.
 
Mahkamah turut menolak rayuan silang berkaitan hukuman yang difailkan oleh pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir.
 
Beliau dalam penghakimannya berkata, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terdahulu adalah selamat dikekalkan dan hukuman yang dijatuhkan adalah memadai dan tidak terlampau berat.
 
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Mohd. Fakhrulrazi, yang juga penceramah bebas sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai dan mengekalkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
 
Fakhrulrazi dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, berhubung ucapannya di perhimpunan #KitaLawan pada 2015, di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada pukul 4.30 petang.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
 
Selain beliau, 8 aktivis lain termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan pengurusnya Mandeep Singh turut didakwa berkait perhimpunan sama.
 
 

Tiada ulasan: