Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Nampaknya polemik penggunaan Stadium Shah Alam (SAA) terus
berpanjangan apabila perjumpaan antara kerajaan Negeri Selangor dengan
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dijadualkan berlangsung hari
ini dibatalkan.
Menurut Presiden Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS), Muhammad
Hairy Ibrahim, pertemuan antara dua pihak itu gagal diadakan berikutan
FAS tidak bersetuju dengan syarat yang dikemukakan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri sebelum itu bersetuju untuk ke meja rundingan namun
dengan syarat perjumpaan itu hanya boleh diwakili dua orang daripada
pihaknya dan dua orang wakil FAS.
"Kerajaan negeri meminta dua nama dari pihak FAS Abdul Rauf Ahmad dan Nazzab Hidzan untuk wakil FAS,
"Sepatunya perjumpaan itu diadakan hari ini pada jam 2 petang,
sebaliknya apa yang berlaku semalam Persatuan Bola Sepak Selangor beri
surat kepada kerajaan negeri Selangor tidak setuju dengan apa yang
kerajaan negeri usulkan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Perkembangan itu tentunya mengecewakan BBPS sekali gus peminat bola sepak Selangor.
"Cuma agak sikit kecewa dengan apa yang berlaku. Saya ingat ada
sinar-sinar harapan tapi sebaliknya (pula yang berlaku). Apa boleh buat,
tak apa kita akan cuba lagi, cuba berbincang kembali dengan FAS dan
kerajaan negeri Selangor," katanya.
Umum mengetahui sudah dua tahun pasukan bola sepak Selangor tidak
dibenarkan beraksi di SSA sehingga memaksa pasukan bola sepak itu
mencari dan bermain di stadium lain.
Krisis bermula apabila kerajaan negeri menuduh FAS tidak menunjukkan
taat setia dan hormat kepada Sultan Selangor apabila enggan melepaskan
beberapa pemain negeri menyertai Pilihan Selangor pada Piala Sultan
Selangor 2017.
Manakala FAS pula mendakwa segalanya berpunca apabila Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memecat serta merta ketua
jurulatih Selangor ketika itu, Zainal Abidin Hassan, digantikan oleh K
Gunalan, tanpa sebarang perbincangan dengan FAS.
Biarpun FAS berjaya mendapatkan stadium lain sebagai gelangang rasmi,
penyokong Selangor tetap mahukan The Red Giants itu beraksi di SSA.
FAS sebelum ini membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk
menjadikan SSA sebagai gelanggang rasmi sepertimana tradisi sebelum ini,
namun belum mendapat maklum balas.
Malah FAS juga membuat permohonan yang sama kepada Stadium Nasional
Bukit Jalil dan terbaru ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai
gelanggang rasmi.
Terkini pasukan bola sepak Selangor menumpang di Stadium Bola Sepak Cheras sepanjang Liga Malaysia 2018.
Hairy kemudiannya bertegas, BBPS tidak memihak kepada mana-mana pihak
dan hanya mahu melihat sukan bola sepak Selangor bebas daripada politik
untuk kepentingan jangka masa panjang.
"PBBS ada pendirian masing-masing. Kita tak terikat dengan FAS dan kerajaan negeri Selangor.
"Kita bawa nama atas nama badan bertindak dan penyokong Selangor untuk
hak mutlak Stadium Shah Alam kembali kepada pasukan Selangor, tiada
kroni, tiada pilih kasih," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan