HALAMAN SANTAI
Rabu, 28 Februari 2018
Dr M: Jangan pertahan bahasa ibunda sehingga abai bahasa Inggeris
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihatkan rakyat tidak mempertahankan bahasa ibunda sendiri sehingga tahap mengabaikan bahasa Inggeris.
Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan itu merugikan kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dan antarabangsa.
“Di zaman dahulu, bahasa Greek menjadi bahasa ilmu, lepas itu bahasa Arab dijadikan bahasa ilmu, lepas itu bahasa Latin, daripada Latin itu dialih bahasa kepada bahasa Eropah. Di antara bahasa Eropah yang terguna di seluruh dunia ialah bahasa Inggeris kerana pada satu ketika, empayar Inggeris ini meliputi seluruh dunia.
“Mana-mana sahaja kita pergi, ada empayar British dan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Di zaman ini pun, bahasa Inggeris diguna Amerika Syarikat dan juga diguna oleh British dan Australia, New Zealand, Kanada dan banyak lagi negara.
“India sekalipun menggunakan bahasa Inggeris kerana mereka tidak dapat bersetuju berkenaan penggunaan bahasa India,” katanya dalam “Kelas Bahasa Inggeris Bersama Cikgu Mahathir” yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, mereka yang memahami dan fasih berbahasa Inggeris lebih mudah menguasai ilmu yang dipelajari.
“Jadi bahasa Inggeris menguntungkan kita, lagipun sebagai bahasa ilmu, kita mudah menguasai ilmu kalau kita faham bahasa inggeris.
“Kalau kita nak tunggu sehingga ilmu itu diterjemahkan kepada bahasa kita, tak mungkin semua ilmu diterjemahkan dan mungkin terjemahan itu tidak sebaik seperti bahasa asalnya.”
Dr Mahathir berkata, rakyat tidak akan kehilangan bahasa ibunda masing-masing kerana mempelajari bahasa Inggeris.
“Orang Jepun guna bahasa Inggeris, Korea guna bahasa Inggeris. Bahkan orang Jerman kalau menulis surat khabar untuk dibaca oleh seluruh dunia, mereka tidak tulis dalam bahasa Jerman, mereka tulis dalam bahasa Inggeris.
“Inilah nilai bahasa Inggeris dan kita tak akan hilang bahasa kita seperti orang Jerman. Orang Jepun tidak hilang bahasa mereka hanya kerana mereka boleh tutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris.”
Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu turut mempertahankan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada zaman pemerintahannya dengan memberikan 2 sebab.
“Pertamanya kerana ilmu yang datang adalah dalam bahasa Inggeris dan disebabkan itu perlunya memahami dan mempelajari bahasa berkenaan.
“Keduanya sebab bahasa Inggeris ini mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi daripada bahasa kita.
Kalau kita nak bekerja, ramai akan tanya adakah awak boleh bertutur kata, menulis dalam bahasa Inggeris?
“Ini menunjukkan dia (bahasa Inggeris) mempunyai nilai ekonomi. Kalau kita kekurangan dalam bahasa Inggeris, nilai ekonomi dalam diri kita akan berkurangan dan sukar mendapat kerja.”
PPSMI diperkenalkan secara berperingkat pada Julai 2002, mulai tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, tingkatan 1 dan tingkatan 6 rendah untuk sekolah menengah.
Dasar itu dimansuhkan pada Julai 2009 dan mata pelajaran Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan serta bahasa ibunda masing-masing di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mulai 2012.
Kerajaan bagaimanapun turut mengumumkan strategi memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
LIHAT VIDEO DI SINI
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan