HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Februari 2018

SPR harap semua pihak terima keputusan mahkamah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan semakan kehakiman bagi mencabar Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya di Perak dan Melaka membuktikan urusan itu mematuhi segala prinsip dan prosedur ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
 
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata pihaknya berharap semua pihak akur dan menghormati keputusan mahkamah itu.
 
"SPR sentiasa menghormati keputusan mahkamah walau di peringkat mana sekali pun ia diputuskan.
 
"Dengan keputusan itu, ia membuktikan bahawa segala urusan Kajian Semula Persempadanan yang dijalankan oleh SPR membabitkan Melaka dan Perak adalah berperlembagaan kerana sudah mematuhi dan memenuhi segala prinsip dan prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum akan keputusan itu sebagai satu pengiktirafan kehakiman berkaitan pembahagian kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman selaras dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi amalan di negara ini.
 
Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, pihaknya juga mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Rayuan, semalam yang menolak rayuan kerajaan negeri Pulau Pinang berkaitan urusan Kajian Semula Persempadanan di negeri itu.
 
Menurutnya, SPR tidak dapat memberikan ulasan lanjut berkaitan keputusan kes itu memandangkan masih terdapat beberapa kes lain yang belum selesai di peringkat mahkamah tertinggi.
 
"Selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan, SPR akan meneruskan kerja-kerja urusan Kajian Semula Persempadanan hingga laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
"Tanggungjawab SPR dalam urusan berkenaan akan selesai selepas laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri," katanya.
 
Beliau berkata, berkaitan urusan pembentangan laporan itu di Parlimen, ia terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri apabila laporan itu akan dibentangkan kerana ia bukan lagi di bawah bidang kuasa SPR.
 
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.
 
Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim dipetik berkata, tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.
 
Beliau menyatakan demikian dalam keputusan menolak dua permohonan dikemukakan dua ahli Parlimen DAP dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi mereka berhubung semakan semula kehakiman.
 
 

Tiada ulasan: