HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Februari 2018

Musa: Shafie angkuh, tidak reti kerja berpasukan



musa-aman-bn
Musa Aman (tengah, baris depan) bersama pimpinan dan perwakilan PBS, PBRS dan Upko di konvensyen jentera pilihan raya di Kota Kinabalu.


KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal angkuh semasa menjadi menteri persekutuan dan tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

“Dia tidak pernah duduk berbincang dengan saya tentang bagaimana kementeriannya akan menyalurkan peruntukan untuk memenuhi keperluan Sabah,” katanya di pelancaran konvensyen Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) hari ini.

Konvensyen ini merupakan persiapan jentera ketiga-tiga parti menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Musa berkata Shafie bukan seperti menteri persekutuan Sabah yang lain seperti Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (pemangku presiden Upko), Tan Sri Joseph Kurup (presiden PBRS) dan Datuk Seri Maximus Ongkili (timbalan presiden PBS) yang selalu bertemu beliau untuk membincangkan pembangunan Sabah.

“Kalau dia terbuka dan bekerjasama dengan kita, saya akan ke Kuala Lumpur untuk membincangkan perkara-perkara berbangkit tetapi ini tidak berlaku. Dia sangat angkuh.”

Shafie meletakkan jawatan naib presiden Umno selepas dia disingkir sebagai menteri luar bandar dan pembangunan wilayah pada 2015 berikutan kritikannya terhadap cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangani isu 1MDB.

Shafie kemudian menubuhkan Warisan.

Musa berkata banyak projek di negeri itu menghadapi masalah semasa Shafie menjadi menteri.

“Contohnya, seorang pegawai daerah beritahu saya kawasanya ada tiang lampu tapi tiada elektrik,” katanya.

“Saya hanya tahu tentang perkara itu selepas pegawai daerah itu secara langsung sampaikan maklum balas itu kepada saya.

“Sudah tentu Shafie mesti tahu tentang perkara ini tetapi apa yang dia lakukan untuk betulkan masalah itu?”

Musa menepis dakwaan Shafie dan pimpinan Warisan memperjuangkan hak Sabah.

“Dia kata dia perjuangkan hak Sabah tetapi para pemimpin dalam dewan ini yang sebenarnya pejuang hak rakyat,” katanya kepada perwakilan konvensyen.

“Dia sebenarnya seorang pengkhianat kepada parti kita dan perjuangan kita dan tindakan disiplin diambil terhadapnya kerana kelakuannya.”

Musa menggesa jentera pilihan raya parti komponen BN bekerja keras melenyapkan pembohongan yang disebarkan pembangkang.


“Kita mesti turun ke padang dan gunakan media sosial supaya rakyat nampak kebenaran.”

Warisan sedang mengusahakan satu kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum tetapi Shafie bertegas partinya tidak akan menyertai gabungan pembangkang nasional itu.

BN mendakwa Warisan adalah proksi parti komponen PH, PPBM, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada ulasan: