GEORGETOWN: Keluarga mendiang M Vasanthapiriya, yang maut akibat bunuh
diri ekoran dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, berharap kebenaran
dapat didedahkan dalam proses inkues yang akan dijalankan polis.
Bapa mendiang Vasanthapiriya, R Muniandy, berkata keluarganya hanya
mampu menerima hakikat mengenai kematian remaja perempuan berusia 14
tahun itu selepas kebenaran mengenai kes terbabit diperoleh.
Muniandy, 54, berkata, sehingga kini, mereka tidak dapat menerima
kenyataan berhubung kematian Vasanthapiriya ekoran masih belum menerima
penjelasan dan pembelaan yang sewajarnya.
"Tidak sehari pun berlalu dengan mudah selepas pemergian anak perempuan
kesayangan kami. Setiap detik kami terkenangkan nasib malang yang
menimpanya.
"Justeru, kami bersyukur apabila Peguam Negara memberi kebenaran kepada
polis untuk menjalankan prosedur inkues ke atas kes kematian anak saya.
Akhirnya, kami bakal tahu punca kes ini.
"Kami sangat berharap kes ini dapat diadili sebaiknya, sekali gus
mengenal pasti punca mengapa anak kami membunuh diri sedangkan telefon
bimbit gurunya yang hilang itu gagal dijumpai bersama mendiang," katanya
ketika dihubungi.
Muniandy berkata, pihaknya juga berharap dapat meneliti kandungan
rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan memuatkan bibit
kejadian kecurian telefon bimbit milik guru terbabit.
"Sesetengah media , baru-baru ini melaporkan rakaman CCTV itu dikatakan
menunjukkan Vasanthapiriya mencuri telefon bimbit terbabit. Ia tidak
benar. Anak saya tidak akan berbuat demikian. Kami mahu lihat sendiri
rakaman CCTV itu," katanya.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, memaklumkan
pihaknya sudah menerima kebenaran daripada Peguam Negara untuk
menjalankan prosedur inkues ke atas kes kematian mendiang
Vasanthapiriya.
Beliau dilapor berkata, pihaknya masih menunggu tarikh sesuai untuk
menjalankan proses berkenaan dengan 30 saksi akan dipanggil.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, Vasanthapiriya, dipercayai cuba
membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya
akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang
guru sekolahnya.
Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja terbabit ke hospital,
tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ)
pada jam 3.30 pagi, 1 Februari lalu.
Sementara itu, Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel,
menggesa Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPNPP) mendedahkan tindakan
yang diambil ke atas guru terbabit, kepada umum.
"Saya percaya JPNPP mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk
menangani situasi ini secara dalaman. Justeru, kenapa perlu tunggu pihak
polis?
"Kami mahu tahu tindakan dalaman yang diambil jabatan berkenaan ke atas
guru terbabit, selain perlu mendedahkan sebarang kesalahan yang mungkin
dilakukan guru berkenaan dalam kes ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan