Roketkini.com
Perdana Menteri Najib Razak harus dinobatkan sebagai individu yang paling banyak menimbulkan rasa sakit hati dalam kalangan rakyat, kata Setiausaha Antarabangsa DAPSY Howard Lee.
Gelaran itu katanya, sangat sesuai dengan pemimpin UMNO itu kerana penglibatan beliau dalam pelbagai skandal di dalam dan di luar negara sehingga membangkitkan rasa kurang senang ramai pihak.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Seksyen Ipoh dua hari lepas yang menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM30,000 ke atas pereka grafik, Fahmi Reza kerana memuat naik gambar badut berupa Najib di akaun Facebooknya dua tahu lalu yang didakwa mengundang sakit hati orang lain.
“Kalau diikutkan hati rakyat, mahu sahaja kita menghumban kleptokrat Najib Razak ke penjara kerana bukan sahaja asyik mencalar hati rakyat, malah tidak segan silu menyembunyikan tuduhan perompak dan pencuri ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Soalan asas yang tertimbul: sekiranya hati seorang perompak disakiti kerana digelar perompak oleh rakyat, mengapa perompak tersebut dibiar bebas manakala rakyat yang melawan pula dihukum?
“Sejak bila menyakitkan hati menteri atau Perdana Menteri menjadi jenayah? Apakah mereka kini
setaraf dengan raja?” tambahnya sambil menyatakan solidariti kepada Fahmi.
Howard yang juga Adun Pasir Pinji dalam pada itu menyeru agar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 disemak semula kerana sifatnya yang terdedah kepada pendakwaan terpilih.
Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan