HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Februari 2018

‘Macam pelarian berebut beli ikan lelong’



Tindakan Irmohizam membuat lelongan ikan dikecam orang ramai hari ini.


Rata-rata pengguna Facebook mengecam tindakan Ahli Parlimen BN Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim membuat lelongan harga ikan hari ini di Kompleks Umno kawasan itu.

Kritikan netizen dapat dilihat pada sejumlah komentar di Facebook rasmi Berita Harian Online yang turut menyertakan rakaman video aksi lelongan dengan paparan golongan wanita berebut untuk mendapatkan ikan jenahak.

Antaranya, Zila Asmida yang merasa kasihan melihat kaum ibu itu seolah-olah seperti pelarian lantaran sanggup berebut untuk mendapatkan bekalan ikan dengan harga murah.

Beliau berpendapat reaksi kumpulan wanita terbabit tidak harus dibanggakan sebaliknya bukti rakyat pada masa ini hidup dalam kesusahan.

Bagi Syedferdaus Syed Mohammad, bukan kerja kerajaan untuk melelong ikan sebaliknya menjadi contoh kebodohan sebuah parti pemerintah yang tidak tahu untuk menggunakan kuasa menentukan harga ikan mengikut kemampuan rakyat.

Rasa simpati turut dirasakan Harun Mohammad apabila melihat realiti rakyat bawahan yang terpaksa saling berebut demi kelangsungan hidup akibat kenaikan kos sara hidup.

“Orang atasan lakukan demi mendapat balasan undi. Jika benar kamu berkhidmat membantu rakyat, buat saja jualan murah sebaik sahaja kamu angkat sumpah menjadi YB (Yang Berhormat),” kata Harun lagi.

Sementara itu, Abdullah Ishak berpendapat barangan keperluan tidak harus dilelong apatah lagi golongan wanita warga emas sepatutnya menghabiskan masa pencen dengan anak dan cucu bukannya beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan.

Tidak kurang juga komentar netizen yang mengaitkan aksi lelongan itu sebagai cara BN berkempen memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir.

“Aku tak fahamlah dengan sesetengah ahli parlimen ni. Kalau nak berkempen, janganlah sampai memperbodohkan rakyat bangsa sendiri.

“Apalah salahnya buat jualan murah. Kenapa mesti nak lelong? Bangga bila dapat tengok kaum-kaum wanita terpekik terlolong minta ikan.

“Sekali tengok dah macam dekat (pelarian) Somalia dah, menadah tangan beramai-ramai,” tulis Eyzan Tasnim.

Kecaman Eyzan itu juga senada dengan Nor Asikin Yusoff yang menyifatkan semua orang boleh membeli ikan tersebut jika diadakan jualan murah.

“Ini namanya (lelongan ikan) membodoh-bodohkan rakyat.

“Kalau betul-betul nak tolong, jual saja ikan tu dengan harga yang murah. Semua org boleh beli. Tak payah nak lelong-lelong,” kata Nor Asikin.

Berita Harian melaporkan Irmohizam membuat lelongan harga ikan sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat & Jualan Ikan Segar LKIM Parlimen Kuala Selangor di Kompleks UMNO Kuala Selangor hari ini.

Video Muhammad Sulaiman berdurasi 30 saat itu menerima lebih 800 komentar dan hampir 180 perkongsian hanya dalam tempoh enam jam dimuat naik di FB Berita Harian Online.

Semakan Malaysia Dateline pula mendapati Irmohizam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terlibat dengan aktiviti melelong ikan sejak tahun lalu dengan kehadiran ahli parlimen BN di kawasan terlibat.

Antaranya, di Bagan Datuk pada 19 November 2017 yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap ahli parlimen kawasan itu.

Tahun ini pula, senario sama menyaksikan penduduk setempat yang berpendapatan rendah turut berebut membeli ikan yang dilelong di Sabak Bernam pada 6 Januari lalu dengan kehadiran Ahli Parlimen BN, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Tiada ulasan: