HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Februari 2018

Walaupun yakin menang, peluang BN kalah di Kedah masih tinggi

DETIK DAILY

 
Oleh Diyana Ibrahim, Muzliza Mustafa
BARISAN Nasional berpeluang tipis untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Kedah disebabkan protes senyap penyokong serta kedudukan kerusinya yang banyak terancam, kata penganalisis.

Situasi ini wujud biarpun beberapa pemimpin tertinggi parti pemerintah negeri Jelapang Padi itu kekal yakin mereka akan terus mempertahankan kuasa di Kedah malah menang lebih banyak kerusi berbanding PRU13.

Gandingan anak beranak yang juga anak jati Kedah Dr Mahathir Mohamad- Mukhriz Mahathir dikatakan bakal memberikan cabaran hebat menggunakan isu kos sara hidup bagi mendorong penduduk negeri itu tidak lagi memberikan undi kepada BN.

Tetapi, yang masih belum jelas adalah kepada siapakah BN akan tersungkur kerana ia berdepan dua gabungan pembangkang yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Pertama, Pakatan Harapan yang antara terajunya ialah Dr Mahathir dan Mukhriz dan dianggotai oleh Bersatu, Amanah, DAP dan PKR.

Satu lagi pembangkang ialah PAS, yang ikut sejarah adalah parti pembangkang terbesar di Kedah.

Malah sumber BN sendiri mengakui yang berdasarkan prestasi BN pada PRU13 lima tahun lalu, gabungan parti pemerintah itu hanya berupaya menang di 12-13 kerusi sahaja.

Dewan Undangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi, untuk membentuk kerajaan majoriti mudah ia memerlukan 19 kerusi. BN kini memegang 21 kerusi.

Daripada 21 kerusi dipegang BN, lapan dimenangi dengan majoriti kurang daripada 2,000 undi menjadikan ia sasaran utama Pakatan Harapan dan PAS.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre mengatakan ini termasuklah kerusi seperti Bakar Bata yang kini milik Pengerusi BN Kedah dan Menteri Besar Ahmad Bashah Md Hanifah.

Pada PRU13 lalu, Bashah menang kerusi itu dengan hanya beza 895 undi untuk mengalahkan Eekmal Ahmad daripada PKR.

“Kita dapati kerusi- kerusi BN yang menang dengan majoriti 2,000 ini yang berada dalam kedudukan bahaya,” kata Hisommudin yang menerusi kajiannya mendapati BN boleh hilang Kedah

Kajiannya mendedahkan yang ada gelombang protes tidak puas hati yang diam-diam sedang
bergelora dalam kalangan penyokong BN di Kedah.

“Di Kedah, ia bukan dilihat berapa ramai ahli Umno ini keluar Bersatu untuk Umno ukur kekuatan namun ia lebih kepada protes dalaman ahli Umno sendiri.”

Personaliti mampu menang

Sebahagian besar kesukaran BN mempertahankan Kedah berpunca daripada ia masih tidak menampilkan personaliti yang mampu menyaingi Mukhriz, bekas menteri besar yang dipecat Umno pada 2014.

Pada PRU13, kewibawaan Mukhriz dan reputasinya sebagai anak lelaki Dr Mahathir membantu BN merampas Kedah daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kali ini, Mukhriz dianggap banyak pihak sebagai calon menteri besar pilihan PH untuk Kedah.
Bagi membolehkan BN terus kekal di Kedah, ia perlu mengumumkan calon menteri besar yang wibawa dan reputasinya setanding Mukhriz, kata Prof Dr Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
“Imej menteri besar (Ahmad Bashah) baik tapi kurang popular berbanding Mukhriz,” kata Azman dari Akademi Pengajian Melayu UM.

Pertandingan banyak penjuru

Keselesaan orang Melayu Islam dengan Umno terutama di kawasan luar bandar Kedah adalah sebab mengapa sebilangan penganalisis masih percaya BN akan terus berkuasa di negeri itu.
Azman mengatakan masih wujud kemungkinan BN dapat mempertahankan Kedah tetapi sukar menang majoriti dua pertiga.

Kerana berdasarkan sejarah, apabila BN berdepan lebih daripada satu parti pembangkang, undi bukan untuk BN akan terpecah dan memberikan kemenangan kepada gabungan parti pemerintah itu.

“Ia tidak mustahil kerana PH tidak berapa kuat memandangkan Bersatu dan PAS merupakan parti baharu dan PAS pula bakal menjadi pemecah undi di Kedah.”

Tetapi Prof Dr Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia tidak percaya kepada teori yang pertandingan banyak penjuru akan secara automatik memberi manfaat kepada BN.

Katanya, satu-satunya cara BN boleh capai majoriti dua pertiga adalah jika ia bekerjasama dengan PAS, situasi yang sukar berlaku.

“Tapi saya agak ragu juga walau bekerjasama pun tapi mereka kena ingat bahawa kedua parti ahlinya sudah berpecah (Bersatu dan Amanah),” katanya merujuk kepada parti serpihan dibentuk oleh bekas pemimpin Umno dan PAS itu.

Tiada ulasan: