HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Februari 2018

Malaysia-China akan terus kerjasama untungkan dua negara - PM

ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan terus bekerjasama dengan melaksanakan pelbagai projek yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerjasama dua hala selama ini membuahkan hasil dan memberi impak positif kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, jumlah dagangan Malaysia dan China kekal kukuh tahun lalu dengan berjumlah AS$96.3 bilion (RM376.4 bilion) meskipun berdepan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Katanya, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia berkeluasan 7.87 kilometer persegi hampir siap dan menarik 90 pelabur strategik utama membabitkan pelaburan 90 bilion renminbi (RM55.7 bilion).

Walaupun kadar penyertaan pelabur China lebih tinggi, jelasnya, sebanyak 49 peratus daripada penguasaan pembangunan utama taman berkenaan dipegang oleh konsortium Malaysia, yang dimiliki secara bersama oleh Rimbunan Hijau Group dan SP Setia Bhd.

"Saya dengan sukacitanya mengingatkan bahawa pengurusan taman berkenaan mewujudkan Kluster Malaysia dengan keluasan lima kilometer persegi untuk memenuhi keperluan khusus usahawan Malaysia, yang menyediakan insentif menarik dan kemudahan sokongan yang baik.

"Begitu juga,  Taman Perindusrian Kuantan Malaysia-China juga sudah berkembang dari kawasan awalnya pada pelancaran dan kini berjumlah kira-kira 1,200 hektar.

"Saya gembira untuk mengatakan bahawa salah satu peserta pertama, Alliance Steel, akan mula beroperasi pada suku kedua tahun ini, dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion dan menyediakan 4,000 pekerjaan baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada Makan Tengah Hari Tahun Baru Lunar Kerjasama Dua Hala Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) di sini, hari ini.

Antara kerjasama yang berjaya dicapai Malaysia dan China adalah, mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), perkongsian PROTON Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Geely), pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Tiada ulasan: