HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Februari 2018

Kes PAS Batu saman 4 anggota Amanah selesai

THE MALAYSIAN TIMES


KUALA LUMPUR: Kes saman difailkan Yang DiPertua PAS Batu Azhar Yahya, PAS Batu dan pemilik hartanah di Mukim Batu Md Mansor Ali terhadap empat anggota Parti Amanah Negara (Amanah) selesai melalui proses mediasi hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim merekodkan penyelesaian kes saman itu di dalam kamarnya selepas kesemua plantif dan defendan iaitu Rosden Mohd Yassin, M.Sugaimi A.Rahaman, Ismail Yahaya dan Jamhor Nawawi bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan.

Melalui penghakiman persetujuan itu, kedua-dua pihak bersetuju supaya plaintif ketiga (PAS Batu) membayar wang berjumlah RM32,500 kepada kesemua defendan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman persetujuan itu dikeluarkan.

Selain itu, Surat Wakil Kuasa bertarikh 18 Ogos 2015 dibatalkan selepas PAS Batu membayar wang tersebut dan kesemua defendan hendaklah menandatangani surat bagi membatalkan Surat Wakil Kuasa dalam tempoh tujuh hari selepas menerima surat berkenaan.

Menurut penghakiman, milikan kosong bagi hartanah tersebut perlu diserahkan kepada PAS kawasan Batu serta-merta selepas wang itu dibayar.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili kesemua plaintif memberitahu pemberita bahawa kesemua pihak terlibat dalam kes ini hadir semasa proses mediasi yang diadakan semalam dan hari ini mahkamah merekodkan penyelesaian kes.

Dalam saman difailkan pada 20 Julai 2017, ketiga-tiga plaintif menuntut perintah mahkamah supaya defendan menyerahkan hartanah kepada mereka iaitu dua unit lot kedai, keseluruhan perbelanjaan dan transaksi kewangan melibatkan hartanah itu termasuk jumlah dan bayaran tebus gadai serta butiran penerimaan hasil sewaan hartanah.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif berkata Azhar dan PAS Batu telah membeli dua lot kedai di Mukim Batu, dekat sini pada 2001 dengan harga RM250,000 dan hartanah itu dipindah milik dan didaftarkan atas nama plaintif pertama (Md Mansor) sebagai pemegang amanah.

Plaintif mendakwa, bagi tujuan pembiayaan pembelian hartanah itu, Md Mansor telah memohon pinjaman daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan plaintif kedua dan ketiga telah membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.

Plaintif mendakwa pada Nov 2014, PAS Batu menerima surat tuntutan daripada BIMB berhubung tunggakan ansuran bulanan bank bagi hartanah itu dan untuk menyelesaikan hutang, parti itu meminta kesemua defendan untuk menyelesaikan urusan tebus gadai hartanah dengan bank.

Ketiga-tiga plaintif mendakwa kesemua defendan mengeluarkan wang berjumlah RM15,000 setiap seorang untuk menyelesaikan hutang dengan bank yang dianggarkan RM57,766 namun, plaintif mendakwa jumlah terperinci tebus gadai hartanah masih belum diketahui sehingga kini kerana defendan enggan mendedahkan butiran dan dokumen berkaitan dengan urusan itu.– Bernama

Tiada ulasan: