KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa berdepan dengan konflik
kepentingan apabila dikatakan bertindak mewakili peneroka-peneroka tanah
di Ijok menerusi firma guamannya, Daim & Gamany sedangkan pada masa
sama, beliau juga merupakan wakil rakyat kerajaan PKR Selangor.
Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC),
Datuk Eric See -To yang dipetik akhbar Utusan berkata, firma yang
dimiliki Sivarasa itu juga seperti terikat dengan kerajaan PKR Selangor.
"Dokumen-dokumen yang telah dilihat oleh saya dan beberapa lagi
termasuk Sivarasa sendiri menunjukkan kaitan Sivarasa dilantik menjadi
peguam bagi mewakili kepentingan peneroka-peneroka di Ijok dan perkara
itu boleh menyebabkan berlaku konflik kepentingan. Sivarasa merupakan
ahli PKR dan Ahli Parlimen di Selangor.
"Kerajaan negeri Selangor memberi kebenaran kepada peneroka-peneroka
untuk memajukan tanah di Ijok sebaliknya berlaku skandal di situ iaitu
di antara syarikat pemaju dengan kerajaan negeri," katanya.
Pada 15 Februari lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan negeri pimpinan Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikan isu skandal tanah di mukim
Ijok.
Abdul Khalid mahu pihak berkuasa menyiasat tindakan kerajaan PKR
Selangor berhubung isu terbabit kerana wujud pelbagai persoalan dalam
proses penyelesaian skandal berkenaan, malah antara beliau dan peguam
caranya tidak pernah dijemput hadir mengikuti sesi perbincangan walaupun
mereka merupakan antara pihak dalam kes berkenaan.
Tambah Eric, Sivarasa mungkin boleh menarik diri daripada menjadi
peguam kepada para peneroka terbabit berikutan konflik kepentingan itu.
Malah katanyam timbul beberapa persoalan yang perlu dimaklumkan kepada para peneroka oleh firma guaman berkenaan.
Beliau mempersoalkan sama ada firma guaman itu telah memaklumkan kepada
semua peneroka bahawa tanah mereka akan dijual dengan harga RM1.18
bilion.
"Selain itu, adakah dua buah syarikat yang menggagalkan usaha
peneroka-peneroka untuk mendapat hak mereka selama 18 tahun itu akan
menerima RM880 juta sedangkan para peneroka menerima hanya RM300 juta?
"Adakah firma itu telah memaklumkan kepada peneroka-peneroka bahawa
pembeli tanah di Ijok merancang untuk membangunkan tanah yang pernah
dimiliki oleh peneroka-peneroka itu dengan nilai pembangunan kasar RM15
bilion?" soalnya lagi.
Eric berkata, maklumat-maklumat seperti itu amat membantu para peneroka
yang kini sudah berusia dan tidak berpendidikan tinggi selain membantu
mereka mempertimbangkan sama ada akan mengambil tawaran yang diberikan
kerajaan PKR Selangor atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan