KUALA LUMPUR – Polis menahan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee berhubung sebuah video klip kontroversi yang dirakamnya di Putrajaya minggu lalu.
Suspek berusia 34 tahun itu telah ditahan sekitar jam 2.45 petang hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataannya mengesahkan penahanan suspek.
“Polis menerima empat laporan polis berhubung sebuah klip video berunsur hinaan terhadap agama selain didapati boleh membawa implikasi negatif terhadap perpaduan dan keharmonian kaum.
“Susulan empat laporan polis itu, satu tangkapan telah dibuat ke atas Namewee bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Wan Ahmad, suspek ditahan untuk disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam perkembangan berkaitan, Namewee dalam ruang Facebook petang tadi memaklumkan yang dia dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung video klip yang sama.
Dia juga mengesahkan dirinya telah direman dan akan memberi kerjasama kepada siasatan polis dalam kes tersebut.
Minggu lalu, Namwee memuat naik sebuah klip video bersempena sambutan Tahun Baru Cina bertajuk ‘Like A Dog” yang menunjukkan orang ramai dengan berkostum topeng anjing dan menari bersama beberapa orang rakannya.
Klip video itu mencetuskan kontroversi sehingga netizen marah kerana Masjid Putrajaya jelas kelihatan di sebalik video itu dan mengecam Namawee sebagai tidak menghormati agama Islam.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan