JOHOR BAHRU: Prestasi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang
berjaya merekodkan peningkatan keuntungan pada tahun lalu menunjukkan
perniagaan itu dapat diuruskan dengan baik selaras dengan fungsi
penubuhannya.
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, perkara itu sudah
menjadi harapan kepada Felda yang memiliki pegangan saham dalam FGV,
apatah lagi warga peneroka.
“Felda merupakan agensi kerajaan, manakala FGV adalah bisnes yang mana kedua-duanya mempunyai fungsi tertentu.
“FGV fokus pada perniagaan untuk mencari keuntungan dan sahamnya yang
akan membawa pulangan kepada peneroka yang terlibat dalam FGV,” katanya
dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan
Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK)
Angkatan Tentera Johor Bahru, di sini, hari ini.
Shahrir berkata, sebenarnya saham tersebut tidak merugikan sesiapa,
namun hanya dimomok-momokkan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan FGV.
“Mereka (pembangkang) hanya mahu cari pasal serta cari salah. Akhirnya
FGV terus untung secara berterusan dan setiap tahun juga dapat bayar
dividen. Kita tidak pernah menghalang peneroka yang mahu menguruskan
ladangnya sendiri.
“Sekarang saya yakin bahawa Felda sudah pulih kepada asal dan akan terus diperkasa,” katanya.
Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk
Zakaria Arshad, dalam satu kenyataan berkata, FGV merekodkan keuntungan
sebelum cukai sebanyak RM417 juta bagi tahun kewangan berakhir 31
Disember 2017.
Katanya, ini merupakan peningkatan 60 peratus berbanding keuntungan
sebelum cukai sebanyak RM260 juta pada 2016 dan peningkatan tersebut
susulan prestasi lebih baik pada sektor perladangan serta logistik dan
lain-lain (LO).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan