HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Februari 2018

Kakitangan awam bukan keldai, kata pemimpin PH



tariq-ismail-fb-1
Tariq berkata kakitangan awam adalah tulang belakang kerajaan dan tidak terhutang budi kepada mana-mana parti. (Gambar Facebook)


GEORGE TOWN: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) memberi amaran berkenaan perbuatan melayan kakitangan awam seperti “keldai” menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), mengatakan mereka juga berhak memilih siapa mereka mahukan sebagai kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail, berkata kakitangan awam adalah tulang belakang kerajaan dan mereka tidak terhutang budi kepada mana-mana parti.

“Kerajaan bukan Barisan Nasional (BN). Kebetulan BN adalah kerajaan sekarang.

“Kakitangan awam adalah pengundi, dan taktik menakut-nakutkan dengan memaksa mereka menyokong anda seolah-olah menjadikan mereka seperti keldai. Mereka bukan keldai dan mereka berhak memilih,” katanya kepada FMT.

Tariq diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman, yang dilaporkan berkata kakitangan awam harus melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli perkhidmatan awam dengan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan berdasarkan prinsip ikrar taat setia dan integriti dilafaz semasa mennyertai perkhidmatan awam.

Kata Zainal, “Aku Janji” tersebut berperanan sebagai peringatan kepada sektor perkhidmatan awam untuk sentiasa sedar, mereka harus kekal setia kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan negara sebagaimana digariskan bawah Peraturan 4(1) Peraturan Pegawai Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tariq berkata jika PH memenangi PRU14, kakitangan awam masih akan mengekalkan pekerjaan, gaji, dan fadah mereka tanpa mengira parti apa disokong.

Asalkan mereka tidak pernah lakukan jenayah dan tidak korup, pekerjaan mereka selamat, tambahnya.

“Kepada kakitangan awam, saya meminta anda terus melakukan terbaik untuk perkhidmatan awam dan negara dengan bersikap cermat. Saya minta anda terus menjadi penjaga dana negara dan melindungi dana ini dengan baik daripada penyalahgunaan, penipuan dan korupsi.

“Saya merayu anda menjalankan urus tadbir dan amalan pengurusan kewangan terbaik sebagai cara melindungi bukan sahaja dana awam yang diamanahkan, tetapi juga melindungi diri sendiri,” katanya.

saifuddin_smal
Saifuddin: Apabila kakitangan awam mengundi, mereka bebas mengundi berdasarkan naluri individu.

Bekas ahli politik Umno yang kini setiausaha agung PH, Datuk Saifuddin Abdullah, sementara itu menegaskan 2 premis asas iaitu perkhidmatan awam berkhidmat untuk kerajaan semasa, dan kakitangan awam berhak mengundi.

“Apabila mereka mengundi, mereka bebas mengundi berdasarkan naluri individu. Ini juga perkara asas.

“Beliau bercakap seperti pemimpin BN,” katanya, merujuk kepada Zainal.

“Ini adalah contoh perbuatan mempolitikkan perkhidmatan awam,” katanya sambil menambah, PH menawarkan program transformasi sebenar untuk perkhidmatan awam.

Zainal dilaporkan berkata kakitangan awam harus menghargai kerajaan semasa atas pelbagai penambahbaikan yang disumbang kepada sektor perkhidmatan awam.

Bernama dilaporkan berkata kerajaan bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelbagai faedah seperti kenaikan gaj, kenaikan pangkat, pelaksanaan cuti khas, cuti umrah, cuti bersalin dan bayaran khas sebanyak RM1,500.

Katanya, Malaysia mempunyai perancangan dan dasar baik dan tidak pernah mengabaikan transformasi perkhidmatan awam.

Tiada ulasan: