HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Februari 2018

500,000 pulang jika BN rampas Kelantan, kata Ku Li

DETIK DAILY



GUA MUSANG, — Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) mampu membawa pulang lebih 500,000 rakyat Kelantan yang berhijrah ke negeri lain kerana faktor kerja, untuk menabur bakti di negeri itu jika BN diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Tengku Razaleigh berkata beliau yakin BN mampu membangunkan kembali Kelantan merangkumi semua aspek seperti pendidikan, ekonomi dan infrastruktur, sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri lain ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju.

“Sejak lebih 20 tahun lepas rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain kerana PAS tidak mampu membangunkan Kelantan sekali gus gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

“PRU14 ini adalah pertimbangan terbaik untuk rakyat menyokong BN kerana hanya BN sahaja yang mampu memulihkan keadaan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dewan Orang Ramai di Pos Brooke, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Ab Aziz Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/ Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU14, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian tersebut berkata perkara berkenaam masih dalam pertimbangannya.

Katanya, beliau sudah menjadi Anggota Parlimen Gua Musang selama 45 tahun dan tidak pernah tewas pada pilihan raya umum yang ditandinginya.

“PRU14 merupakan penggal ke-12 saya bertanding dan ada beberapa pemimpin BN yang datang jumpa saya minta saya terus bertanding lagi pada kali ini. Saya akan pertimbangkannya,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: