MYNEWSHUB
PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan bertujuan untuk ‘menarik undi’, sebaliknya bagi meringankan beban golongan yang berkelayakan bagi mengelak ketirisan lebih besar.
Kata Najib, pengenalan inisiatif BR1M pada tahun 2012 itu sebenarnya adalah atas cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas kaedah pemberian subsidi berpukal diamalkan sejak sekian lama ditegur Bank Dunia.
“Subsidi ini (bersasar) adalah lebih baik daripada subsidi pukal yang banyak ketirisan. Sebagai contoh, mungkin mereka yang menerima subsidi ini menjualnya di sempadan.
“Keduanya, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya petrol RON95. Orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang memandu Proton Saga atau Myvi,” katanya pada majlis pelancaran BR1M peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini, memetik laporan Bernama.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan fasa pertama BR1M kepada 2,000 penerima pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak pihak pembangkang yang hanya pandai mengkritik pemberian BR1M, tetapi tidak memberi sebarang cadangan berhubung kaedah lebih baik dalam menyampaikan subsidi.
Katanya, pihaknya bersedia menimbang sebarang cadangan untuk dilaksanakan, termasuk yang boleh membantu golongan B40, demi kepentingan rakyat dan negara.
“Sebab itu bila orang kata kita bagi dedak dan ‘cash is king’, itu semua mengarut…sebab apa? Zaman dia tidak buat tetapi zaman saya beri kepada rakyat.
“Kalau tidak suka BR1M, tolong beri cadangan lebih baik untuk hendak tolong B40 bukan hanya hendak mengkritik semata-mata,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan