HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Februari 2018

Jika betul...Robert Kuok sudah lupa daratan, kata Ku Nan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan hartawan Tan Sri Robert Kuok sebagai individu lupa daratan, susulan kenyataannya mahu menggantikan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan DAP seperti didakwa penulis blog, Raja Petra Kamaruddin.
 
“Saya percaya ini masalah manusia sekarang (lupa daratan), bukan dia (Robert Kuok) sahaja, bekas-bekas (pemimpin) kita juga sama, lupa apa waktu mereka ada kuasa.
 
“Kita sokong mereka, kita bantu mereka, kita pastikan mereka kekal sebagai perdana menteri ke jawatan lain, tapi bila tak dapat benda, mereka memburukkan kerajaan yang selama ini mendokong mereka,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu selepas menghadiri Majlis Big Walk Program Sukarelawan dalam Penglibatan Komuniti (Voice) sempena Sambutan Hari Wilayah 2018 di Masjid Jamek.
 
Rabu lalu, Raja Petra menerusi blognya mendakwa Kuok mempunyai agenda menggantikan pemerintahan kerajaan BN dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.
 
Katanya, bagi merealisasikan impian itu, Kuok bergantung kepada semua taikun Cina dan orang Melayu dalam Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan BN.
 
Beliau turut mendakwa Kuok secara terbuka menyuarakan pendiriannya tidak suka Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970, kepada pemimpin Umno seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Times pada 4 Disember 2017.
 
Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, kenyataan Kuok akan menyinggung perasaan orang Melayu dan Bumiputera.
 
“Saya hairan kenapa Robert Kuok keluarkan kenyataan itu. Beliau tahu daripada statistik Malaysia ini, kita ada lebih kurang 65-68% Melayu Bumiputera, Cina hanya ada 20% lebih dan India ada 3%.
 
“Saya tidak tahu kenapa beliau naikkan sentimen yang mengatakan beliau nak kononnya negara ini ditadbir bangsa Tionghua ini, akan menyakiti orang Melayu Bumiputera.”
 
Setiausaha agung Barisan Nasional dan Umno itu memberi amaran kepada Kuok supaya tidak menggunakan sentimen perkauman untuk meracuni pemikiran rakyat berbilang bangsa di negara ini.
 
“Jangan ada (yang) hendak meracuni pemikiran rakyat dan memberi harapan ada orang boleh mengambil alih kerajaan ini daripada Bumiputera dan Melayu.”
 
Kelmarin, Raja Petra menerusi blognya mendakwa anak saudara Kuok, James Kuok menjadi orang tengah kepada bapa saudaranya yang berpangkalan di Hong Kong, untuk memberi dana kepada DAP.
 
Dakwaan itu dinafikan James yang menegaskan beliau tiada sebarang hubungan kewangan dengan DAP.
 
James berkata, sepanjang 31 tahun beliau berniaga, restorannya dikunjungi ramai orang kenamaan, termasuk bekas perdana menteri Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pemimpin pembangkang.
 
 

Tiada ulasan: