Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, diketahui merupakan salah seorang penyokong kuat kepada golongan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender).
Pada 21 November 2017, Charles memuatkan satu kenyataan bertajuk “Hari Peringatan Transgender: Hapuskan Undang-Undang Mendiskriminasi Terhadap Masyarakat Transgender” (“Transgender Day Of Remembrance: End Discriminatory Laws Against the Transgender Community”) di laman Facebook beliau.
Di dalam kenyataan ini, Charles menulis: “Saya menggesa anda menyertai saya di dalam mendesak Kerajaan Malaysia supaya menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan transgender. Dan saya juga menyeru semua jabatan agama negeri, termasuk JAKIM dan JAIS, supaya menghentikan penahanan arbitrari ke atas perempuan transgender (mak nyah).” (“I ask that you join me in requesting the Malaysian government to repeal all laws and regulations that discriminate against transgender people. And I also call on all state
religious departments, including JAKIM and JAIS, to end arbitrary arrests of transgender women.”)
Saya bagaimanapun tidak memandang terlalu serius kenyataan Charles pada 21 November 2017 ini kerana ia mungkin hanyalah merupakan kenyataan peribadi Charles yang tidak mencerminkan pendirian rasmi DAP, apatah lagi bila kenyataan ini tidak dimuatkan di dalam laman rasmi DAP sendiri.
Bagaimanapun, pada 21 Februari 2018, Charles sekali lagi memuatkan satu kenyataan bertajuk “Hentikan Bigotri & Kebencian Terhadap Golongan LGBT” (“Stop Bigotry & Hatred Against the LGBT People”) di laman Facebook beliau.
Pada hemat saya, kenyataan Charles pada 21 Februari 2018 ini perlu dipandang berat kerana ia mengandungi seruan yang lebih meluas daripada kenyataan beliau pada 21 November 2017 kerana kenyataan beliau pada 21 November 2017 sekadar mendesak Kerajaan Malaysia supaya menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan transgender manakala kenyataan beliau pada 21 Februari 2018 ini menyebut bahawa “Kerajaan Malaysia mesti menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan LGBT dengan segera” (“the Malaysian government must repeal all laws and regulations that discriminate against the LGBT people without further delay”) kerana “undang-undang yang menjadikan homoseksualiti sebagai satu jenayah, seperti di Malaysia, mendatangkan satu ancaman serius kepada hak-hak asasi individu-individu lesbian, gay, biseksual dan transgender” (“laws criminalizing homosexuality, as in Malaysia, pose a serious threat to the fundamental rights of lesbian, gay, bisexual and transgender individuals”).
Lebih serius lagi, selain disiarkan di dalam portal berita Malaysia Kini di bawah tajuk “Bigotri Terhadap Masyarakat LGBT Mesti Dihentikan” (“The Bigotry Against The LGBT Community Must Stop”) pada 21 Februari 2018, kenyataan Charles ini turut dimuatkan di dalam laman rasmi DAP sendiri di bawah tajuk “Hentikan Bigotri & Kebencian Terhadap Golongan LGBT” (“Stop Bigotry & Hatred Against the LGBT People”) pada 21 Februari 2018 yang memberikan gambaran bahawa kenyataan Charles ini mencerminkan pendirian rasmi DAP sendiri.
Seperti kita ketahui, di peringkat Pusat, di bawah Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan liwat sama ada secara sukarela (Seksyen 377B) atau secara paksa (Seksyen 377C).
Begitu juga di peringkat Negeri di mana adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berlagak seperti perempuan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.
Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 contohnya memperuntukkan bahawa “Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”.
Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 pula memperuntukkan bahawa “Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”.
Begitu juga dengan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 yang memperuntukkan bahawa “Mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.
Sepatutnya, jika Charles dan DAP benar-benar serius mahu menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan LGBT dengan segera, maka Charles dan DAP wajib terlebih dahulu mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghapuskan Seksyen 25, Seksyen 26 dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah diketuai oleh DAP sendiri, dan bukannya mendesak Kerajaan Malaysia yang tidak diketuai oleh DAP.
Sehubungan dengan itu, sangat menarik untuk dilihat pendirian rakan kongsi DAP di dalam Pakatan Harapan, khususnya AMANAH yang meletakkan di dalam Fasal 3(1) dan Fasal 3(2)
Perlembagaannya bahawa “dasar dan tujuan AMANAH” adalah untuk “memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan” dan “mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Li Al-‘Aalameen)”, mengenai sokongan Charles dan DAP terhadap homoseksualiti ini.
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Advertisements
Tiada ulasan:
Catat Ulasan