KUALA LUMPUR: Yayasan Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM) menerima
peruntukan RM500,000 daripada kerajaan bagi membantu ahli yang kurang
berkemampuan khususnya untuk penjagaan kesihatan.
Peruntukan itu diumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika
berucap pada Majlis Makan Malam Alumni MBM di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah peruntukan awal sementara
menunggu yayasan itu mendapat kelulusan penubuhannya daripada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK).
"Difahamkan penubuhan yayasan ini belum mendapat kelulusan. Justeru,
saya akan minta (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan) Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya mempercepatkan
penubuhan (kelulusan) untuk manfaat ahlinya.
"Kita berharap dana yang disalurkan itu dapat digunakan bagi menampung
kos perubatan mereka (ahli alumni) yang memerlukan serta penjagaan
kebajikan ahli yang kurang berkemampuan," katanya.
Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis
dan Presiden Alumni MBM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Bekas presiden serta pimpinan MBM turut hadir termasuk Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar;
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada 16 ahli alumni berjumlah RM500 setiap seorang.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan yayasan itu mampu membawa manfaat kepada
ahlinya kerana ada dalam mereka tidak memiliki perlindungan insurans
untuk penjagaan kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan