HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Februari 2018

AG benarkan inkues siasat kematian pelajar curi iPhone - Polis


ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Polis telah mendapat persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara untuk mengadakan inkues berhubung kes kematian M. Vasantha Piriya, 14, pelajar perempuan yang dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya, bulan lepas.
 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan berkata siasatan polis berhubung kes itu telah selesai dan kini hanya menunggu arahan untuk mengadakan inkues di mahkamah.
 
"Kemungkinan lebih 30 saksi akan dipanggil memberi keterangan sepanjang inkues yang akan dijalankan secara terbuka itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang bersama 400 guru dan pelajar India daerah Seberang Perai Selatan, di Nibong Tebal.
 
Vasantha Piriya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nibong Tebal meninggal dunia pada 1 Feb lalu selepas bertarung nyawa selama tujuh hari akibat menggantung diri di bilik rumahnya, dipercayai tertekan akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya dalam kejadian 24 Jan lalu.
 
Sementara itu, Thaiveegan berkata polis sentiasa berkerjasama dengan sekolah-sekolah di negeri itu dalam usaha menangani masalah jenayah dan salah laku disiplin terutama isu buli dalam kalangan pelajar.
 
"Antara kerjasama yang dijalankan ialah pegawai polis ditempatkan sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di setiap sekolah dan mereka berperanan penting dalam mendidik dan membudayakan pelajar tentang kesedaran jenayah serta mengesan perlakuan dalam kalangan pelajar," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata polis telah memperoleh salinan rakaman CCTV dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk dianalisa Jabatan Forensik PDRM bagi mengesan identiti penunggang motosikal yang menendang lelaki warga emas di Jalan Persiaran Gurney, Georgetown, Sabtu lepas.
 
"Laporan lengkap siasatan dari Jabatan Forensik PDRM dijangka diperoleh selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi dan saya harap lelaki yang menendang warga emas itu segera tampil menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya.
 
Dalam kejadian 5.30 petang itu, Abdul Halil Mohamed Noor, 66, ditendang ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Persiaran Gurney ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Asar di Masjid Jamek Lama, Lorong Burma, menyebabkan lelaki itu cedera dan dirawat di Hospital Pulau Pinang.
 
 

Tiada ulasan: