HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Februari 2018

Persempadanan semula tidak untungkan BN di Kedah, kata Pakatan



Persempadanan semula tidak untungkan BN di Kedah, kata Pakatan
Persempadanan semula kawasan pilihan raya mungkin akan memihak kepada Pakatan Harapan di Kedah walaupun cadangan SPR di seluruh negara dikritik hebat kononnya akan memenangkan Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
PAKATAN Harapan (PH) percaya persempadanan semula kawasan pilihan raya akan memihak kepadanya di Kedah walaupun cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara dikritik hebat kononnya akan memenangkan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi PH Kedah Dr Azman Ismail berkata sempadan baru kawasan pilihan raya yang diusulkan oleh SPR akan mengasingkan pengundi mengikut garis kaum, memisahkan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Katanya, langkah itu bertujuan mengukuhkan sokongan bagi BN di kawasan majoriti Melayu kerana pengundi bukan Melayu dianggap cenderung menyokong pembangkang.
Kebanyakan rakyat Kedah masih ada hormat dan setia kepada Dr Mahathir Mohamad yang boleh diterjemahkan dalam bentuk undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.
Kebanyakan rakyat Kedah masih ada hormat dan setia kepada 
Dr Mahathir Mohamad yang boleh diterjemahkan dalam bentuk
undi. – Gambar fail The Malaysian Insight,
Bagaimanapun beliau berpendapat langkah itu akan menguntungkan PH kerana pemerhatian mereka di lapangan sama dengan kajian yang menunjukkan ada peralihan sokongan pengundi Melayu di negeri utara itu.

"Sekiranya sokongan Melayu beralih 10 peratus kepada PH saya rasa persempadanan semula akan jadi perangkap kepada BN, sokongan ini akan menyebabkan orang menolak BN," kata Dr Azman.

Faktor Dr Mahathir

Beliau berkata peralihan itu boleh jelas ternampak terutamanya pada enam bulan kebelakangan ini kerana faktor Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya dari awal gerak kerja PH di Kedah, kita lihat lonjakan sokongan Dr Mahathir, dalam setahun ini kita boleh lihat.

“Dan sokongan itu sangat jelas dan ketara dalam tempoh enam bulan terakhir ini, apabila ada sokongan dari kampung tradisi Melayu yang kita kata bukan ‘anti perubahan’ tapi mereka sangat konservatif,” katanya.

Menurut Dr Azman kebanyakan rakyat Kedah masih ada hormat dan setia kepada Dr Mahathir yang "boleh diterjemahkan dalam bentuk undi".

"Saya rasa silap orang Umno apabila terlalu menyerang Dr Mahathir.

“Rakyat Kedah mengenali Dr Mahathir sebagai doktor mereka. Biasanya doktor ini memang ada hubungan istimewa dengan pesakitnya .

"Apabila digembar-gemburkan yang luar biasa, kata beliau ini penipu, pembohong... orang akan kata ia tidak benar dan perkara ini akan memakan diri Umno kembali.”

PH juga yakin akan ada peralihan sokongan pengundi Melayu atas dua sebab: perpecahan dalam Umno Kedah dan kelemahan dalam PAS.

Dr Azman berkata beliau yakin undi yang sepatutnya pergi kepada Umno dan PAS itu akan datang kepada Bersatu dan PH.

“PAS Kedah semakin lemah, saya rasa kerana mereka masih belum bangkit sepenuhnya atas kekalahan mereka semasa PRU12," katanya.

PAS memenangi Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008. Parti Islam itu bagaimanapun kalah hampir separuh kerusi negeri pada 2013.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi negeri, dengan 19 kerusi di dewan undangan negeri diperlukan oleh sesebuah parti politik untuk membentuk kerajaan negeri.

PH sekarang memegang lapan kerusi negeri dan empat kerusi Parlimen.

"Kita perlukan lagi 11 kerusi lagi untuk menang dan seterusnya dapat membentuk kerajaan,” katanya.
“Dan kita sebenarnya lihat PH ada potensi menang lebih dari 11 kerusi.”

Isu kos sara hidup

Kedah, negeri jelapang padi Malaysia, bergantung kepada bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama rakyatnya.

Negeri itu, dengan 1.2 juta pengundi berdaftar, mempunyai 76% penduduk Melayu, 13% Cina, 7% India dan 4% kaum lain.
Kedah yang mempunyai 1.2 juta pengundi berdaftar, bergantung kepada bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama rakyatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.
Kedah yang mempunyai 1.2 juta pengundi berdaftar, bergantung 
kepada bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama rakyatnya. 
– Gambar fail The Malaysian Insight
Dr Azman berkata cabaran utama yang dihadapi rakyat Kedah ialah kos hidup yang meningkat dan pengangguran.

“Ia antara luahan oleh rakyat, tentang peningkatan kos sara hidup, dan mereka ini pula rata-ratanya pesawah,  penoreh getah, dengan harga komoditi jatuh begitu juga dengan pendapatan.

“Rakyat Kedah terkesan dengan harga ringgit jatuh kerana mereka ini banyak beli barang dan berurus niaga di Thailand."

Menurut Jabatan Perangkaan, Kedah mencatatkan pendapatan per kapita kedua paling rendah di Malaysia, sebelum Kelantan.

KDNK per kapitanya pada RM18,249 lima kali lebih rendah berbanding Kuala Lumpur

Tiada ulasan: