HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Februari 2018

Orang Asli Tohoi setuju pindah untuk pembinaan loji hidro

 
Pengerusi JKKKOA Pos Tohoi, Zainal Cali berkata persetujuan itu dicapai dalam perbincangan antara penduduk dan pengurusan TNB baru-baru ini.


orang-asli
Gambar Facebook


GUA MUSANG: Lebih 300 keluarga Orang Asli di Pos Tohoi di sini, bersetuju berpindah ke kampung baharu yang dicadangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memberi laluan kepada pembinaan projek jana kuasa mini hidroelektrik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi, Zainal Cali berkata persetujuan itu dicapai dalam perbincangan antara penduduk dan pengurusan TNB baru-baru ini.

“Perpindahan ke kampung baharu tersebut akan dilakukan sebaik pembinaan rumah siap termasuk disediakan kemudahan jalan, elektrik dan air bersih supaya dapat tinggal dalam keadaan selesa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Tohoi.

Zainal berkata sebelum ini penduduk membantah cadangan pembinaan projek tersebut di Sungai Perias, Pos Tohoi kerana bakal mengundang banyak masalah terutama terdedah kepada kejadian banjir dan pencemaran bekalan air untuk masyarakat itu.

“Selepas menerima penjelasan berhubung perkara itu daripada TNB, kami semua bersetuju pindah ke kampung baharu di atas bukit berdekatan yang lebih selamat,” katanya.

Zainal berkata kampung asal kaum itu diwujudkan nenek moyang mereka berpuluh tahun lalu.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau pelaksanaan projek tersebut supaya ia tidak menjejaskan sumber pendapatan dan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata pembinaan projek berkenaan sudah lama dicadangkan TNB untuk faedah penduduk Orang Asli dan penduduk lain sekitarnya.

Beliau berkata penduduk Orang Asli yang terbabit dengan kawasan pembinaan projek berkenaan hendaklah memberi kerjasama berdasarkan perjanjian dimeterai kedua-dua pihak.

Tiada ulasan: