Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: PAS dinasihat agar tidak terus mempertaruhkan sesuatu ikatan
perkahwinan semata-mata mahu mengekalkan kuasa politik partinya di
negara ini.
Penganalisis politik, Dr Aidit Ghazali bertegas beliau secara
peribadinya menolak percaturan PAS yang menggunakan isu cerai talak tiga
ke atas wakil rakyatnya hanya untuk urusan duniawi.
"Secara perbadi saya tidak setuju, sekiranya atas sebab politik,
terjatuhnya talak tiga sebab politik ini urusan duniawi untuk mencapai
sesuatu matamat yang baik",
"Tetapi kita kena faham politik kalau kita gagal ia tidak menggegarkan
arasy, tetapi bila berlaku penceraian antara dua hamba Allah, ini
dikatakan menggegarkan arasy.
"Maknanya bercerai ini, Allah izinkan tetapi ini satu-satunya perkara
yang Allah benci. Tapi politik ini kita terlibat pun takda masalah,
tidak terlibat pun tiada masalah", katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS
semalam yang memutuskan untuk mengekalkan lafaz bai'ah ke atas calon
yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) akan datang.
Manakala lafaz bai'ah talak tiga akan disesuaikan mengikut keperluan dan situasi politik negeri-negeri tertentu.
Pemimpin PAS sebelum ini melihat keperluan wakil rakyatnya melafazkan
bai'ah sebagai jaminan kesetiaan mereka agar sesuatu kerajaan yang
dibina tidak runtuh - jika ada antara mereka bertindak melompat parti.
Mengulas lanjut, Aidit berkata PAS sepatutnya boleh menilai
keberkesanan lafaz bai'ah yang anjurkan partinya berikutan masih ada
wakil rakyatnya bertindak lompat parti meskipun terikat dengan ikrar
setia itu.
"Sebelum PAS hendak menetapkan talak tiga itu jatuh sekiranya mana-mana
ahli langgar bai'ah, mereka perlu berfikir masak-masak apa sebenarnya
matlamat mereka sehingga mengikat sedemikian rupa.
"Kita lihat sendiri ada sebahagian pemimpin PAS yang dahulu, kini
berada dalam PAN (Amanah). Mereka (juga) memperlekehkan bai'ah itu
sendiri kerana bai'iah tidak capai matlamat", ujarnya.
Isu lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat atau
pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa
pimpinan kanan bertindak keluar parti.
Aidit menambah, PAS tidak seharusnya mengikat wakil rakyatnya
sedemikian rupa sebaliknya perlu mendidik ahli akar umbinya supaya lebih
taat dan setia kepada parti.
"Menerangkan dan mendidik di peringkat akar umbi dari segi strategi
baru, kerana sekian lama berpuluh tahun akar umbi ditanam seolah-olah
parti PAS sahaja yang betul
"Jadi macam mana nak buka minda di peringkat akar umbi supaya mereka
lebih terbuka dengan pilihan baru demi kepentingan agama islam, bangsa
dan kedaulatan negara", katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan