Oleh Radzi Razak
UMNO Selangor tidak pernah peduli nasib peneroka asal tanah kontroversi di Ijok yang bersabar lebih 10 tahun menunggu rumah yang dijanjikan oleh parti itu serta pampasan kerana projek terbengkalai, kata wakil peneroka terlibat.
Omar Ali Bashah, yang mewakili peneroka berkenaan sejak 2013, berkata beliau hairan kenapa Umno membangkitkan semula isu itu sekarang selepas kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) berjaya menyelesaikan isu tersebut.
“Selepas penantian selama 20 tahun selesai, mengapa masih ada pemimpin Umno yang pertikai sedangkan masalah ini berlaku ketika zaman mereka. Menteri Besar mereka dulu tak dapat nak selesaikan.
“Kalau Selangor masih di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional, pasti tanah ini dilelong bank dan institusi pemberi pinjaman,” katanya yang mengetuai Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Alam Mutiara dan Alam Utama Bukit Cerakah.
Kontroversi kes peneroka itu kembali hangat apabila Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan pada 15 Februari lalu mendesak Menteri Besar Selangor Azmin Ali menjelaskan "tindakan tergesa-gesa" kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pemaju pada 2016.
Rahman berkata tindakan itu jadi persoalan kerana ada kedua-dua keputusan mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan 2014 memihak kepada kerajaan negeri dalam kes pengambilan semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat berkenaan.
Pada 18 Februari lalu, Ketua Penerangan BN Selangor Mohamed Satim Diman berkata beberapa peneroka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana mendakwa pampasan yang mereka terima tidak mengikut harga pasaran terkini.
Dua dekad menunggu
Omar berkata pihaknya sudah cuba mencari jalan penyelesaian isu tanah itu sejak 1997 tetapi hanya dapat peluang bertemu dengan kerajaan negeri selepas pembangkang mengambil alih Selangor daripada BN pada pilihan raya umum 2008.
Katanya, jalan penyelesaian yang dirundingkan dengan bekas menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim pada 2010 dan 2013 itu bagaimana buntu kerana tawaran penyelesaian tidak dipersetujui oleh peneroka.
Hanya selepas Azmin menggantikan Khalid, penyelesaian dicapai hasil pertemuan kerajaan negeri Selangor dengan 453 peneroka asal dan jawatankuasa bertindak.
Penyelesaian itu menetapkan peneroka akan dapat baki pampasan tertunggak dan tidak perlu membayar apa-apa bagi rumah yang dibina untuk mereka.
"Penyelesaian haruslah dibuat di luar mahkamah kerana kebanyakan kami warga emas, usia lebih 70 dan akan ambil masa yang lama… mungkin tak akan dapat tengok rumah pun," kata Omar.
Pada 17 November, 2015 jawatankuasa bertindak itu mencapai persetujuan penyelesaian dengan syarikat pemaju baru pada pertemuan yang disertai penasihat undang-undang Selangor serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Baki pampasan dijelaskan pada 30 Jun, 2016 dan peserta pula mendapat sijil kelayakan memiliki (CoE) rumah mereka pada 23 September tahun yang sama.
"Peserta diberi rumah teres dua tingkat 20x70, 1,750 kaki persegi, sama seperti yang dijanjikan sebelum ini," kata Omar.
Majlis simbolik pemberian tanah itu diadakan pada 11 Februari lalu, dua dekad selepas syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd mengambil tanah peserta itu pada 1997.
“Kami bersyukur kerana akhirnya projek terbengkalai ini dapat diselesaikan dan menerima RM180,000 wang pampasan serta sebuah rumah dengan harga RM250,000.
“Selepas siapnya rumah itu, ia akan bernilai tidak kurang dari RM450,000. Ini bermakna kita mendapat wang pampasan dan aset keseluruhan berjumlah RM630,000,” kata Omar.
Menurut rekod jawatankuasa bertindak itu hanya 987 daripada 1,063 peneroka saja yang berhak mendapat rumah manakala 76 peserta menjual lot rumah kepada pemaju lama. Bagaimanapun, 358 daripada 987 peserta itu tidak sempat melihat rumah berkenaan siap kerana sudah meninggal dunia.
Tidak puas hati
Sementara itu ada juga peneroka yang tidak berpuas hati dengan jawatankuasa bertindak yang menyokong perjanjian baru dengan kerajaan negeri.
Wakil kumpulan itu, Mohd Fadzil Ibrahim berkata ini kerana ada keraguan pada perjanjian itu termasuk harga rumah RM200,000 dan saiz rumah lebih kecil berbanding perjanjian asal pada tahun 2000.
"Saya difahamkan Azmin beritahu harga rumah yang akan diberikan bernilai RM400,000 tetapi pemaju beritahu harga lain pula.
"Mengikut perjanjian asal rumah berkembar yang akan diberikan mempunyai tiga bilik di tingkat atas dan satu bilik di bawah, tetapi perjanjian baharu menunjukkan rumah itu hanya tiga bilik," katanya dilaporkan Berita Harian.
Fadzil berkata berdasarkan perjanjian asal, pampasan kepada peneroka diberikan mengikut harga semasa dan menuntut pampasan RM 500,000 diberikan kepada setiap keluarga peneroka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan