ZULKIPLY HARUN | Foto WAN ZAHARI SALLEH
Pengerusi
Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan besar kemungkinan
calon-calon Pakatan Harapan (PH) terpaksa menggunakan logo parti
masing-masing dalam pilihan raya umum (PRU) tahun ini kerana Pendaftar
Pertubuhan belum lagi meluluskan pendaftaran gabungan parti politik itu.
Malah sehingga kini, ujar beliau belum ada sebarang maklum balas diberikan terhadap permohonan yang telah dibuat PH sebelum ini.
Tun Mahathir berucap di Majlis Jelajah Harapan Melaka 2018 di Alor Gajah semalam.
Ribuan rakyat Melaka dari semua lapisan masyarakat hadir pada majlis jelajah PH itu.
Ini adalah program pertama Jelajah PH yang bakal diadakan di seluruh negara sehingga pembubaran parlimen.
“Najib (Perdana Menteri Malaysia) sedang membuat berbagai tindakan
untuk mengalahkan PH,
umpamanya sehingga sekarang PH tidak didaftarkan
oleh RoS (Pendaftar Pertubuhan).
“Mereka bukan sahaja tidak daftarkan, tetapi tidak jawab surat permohonan dari kita,” tambahnya.
Beliau yakin pendaftaran PH sengaja dilewatkan bagi menghalang
parti-parti gabungan PH menggunakan lambang yang sama dan terpaksa
menggunakan simbol parti masing-masing dalam PRU yang akan diadakan pada
bila-bila masa.
Bagaimanapun Tun Mahathir yakin walaupun pentadbiran Najib ‘takut’
untuk mendaftarkan PH, rakyat tetap mengetahui bahwwa AMANAH, PKR, DAP
dan Bersatu adalah parti-parti gabungan PH.
Beliau mengambil contoh dalam PRU ke-13 lalu, Pakatan Rakyat yang
dianggotai tiga parti (PKR, DAP dan Pas) tetap mendapat sokongan
majoriti rayat dan hampir mengalahkan BN.
Tun Mahathir turut menyentuh pelbagai kaedah yang dilakukan BN untuk
mengalahkan PH seperti mengubah persempadanan kawasan pilihan raya dan
memperluaskan undi pos.
“Kita berharap pilihan raya yang akan datang ini adalah pilihan raya
yang bersih, tidak ada penipuan oleh mana-mana pihak. Saya yakin jika
pilihan raya ini bersih, PH akan dapat mencapai kemenangan,” ujarnya.
Justeru itu, Tun Mahathir menyeru rakyat supaya mengundi calon dari
komponen PH dan menolak calon-calon yang menggunakan simbol dacing (BN)
dan bulan (Pas).
Turut berucap pada majlis yang sama Presiden PH Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin
dan Mohamad Sabu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke dan
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.
Satu persembahan montaj yang menarik dari Media Oren turut dipersembahkan di majlis tersebut.
Sebelum itu, di sebelah petang para pemimpin PH telah menghadiri
program-program berasingan anataranya Sesi Teh Tarik bersama Tun
Mahathir di Krubong, program Bonda Aspirasi Harapan di Ayer Molek yang
dihadiri Dr Wan Azizah, program Minum Petang menampilkan Mohamad Sabu di
Merlimau Pasir dan rumah terbuka Tahun Baru Cina dihadiri Anthony Loke
di bandar Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan