HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 April 2018

Jangan lupa tebus maruah Anwar jika PH menang PRU14

 Oleh Nordin Yaacub
 
 
Tidak adil buat Anwar dan rakyat Malaysia umumnya, sekiranya apa yang berlaku pada 1998 disorokkan dan dijadikan monumen sejarah yang tidak patut dirujuk semula.

 
 




Setelah membentuk kerajaan, penilaian semula dan membongkar kezaliman yang dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perlu.

Keadilan terhadap Anwar sebelum ini dinafikan. Mahkamah, peguam negara dan polis harus disiasat kerana menzalimi Anwar.

Isu Anwar perlu dibuka semula sebaik sahaja kerajaan korup Barisan Nasional (BN)/Umno ditumbangkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kita perlu memastikan mereka yang bersekongkol untuk memfitnah Anwar – memastikan Anwar dibunuh karakternya dan menghumban beliau ke dalam penjara menggunakan kuasa – membayar dosa.

Keadilan perlu diberi kepada Anwar. Tidak adil buat Anwar dan rakyat Malaysia umumnya, sekiranya apa yang berlaku pada 1998 disorokkan dan dijadikan monumen sejarah yang tidak patut dirujuk semula.

Apa yang ada mulai 1998 adalah satu konspirasi politik. Ini adalah permainan politik – kerana Anwar dilihat akan mencabar kerusi nombor satu.

Golongan yang terbabit dalam perjuangan Reformasi harus memastikan keadilan untuk Anwar. Ini antara apa yang mahu dan patut dilakukan setelah berjaya menumbangkan BN/Umno dan berjaya membentuk kerajaan.
Keadilan untuk Anwar

Tuduhan terhadap konspirasi politik, dakwaan salah laku seks, rasuah mencampuri urusan polis dan menyalahgunakan kuasa harus dibuka semula dan dibersihkan untuk menjamin keadilan kepada Anwar.

Semestinya ini perlu kerana ini yang diperjuangkan gerakan Reformasi. Bagi gerakan Reformasi, segala aset kerajaan, undang-undang dan badan penguatkuasaan dicabuli dan ini perlu dipulihkan.

Kejayaan PRU14 nanti harus digunakan untuk menebus kembali maruah Anwar yang tercalar akibat pemerintahan korup, zalim dan ini akan memastikan kejayaan menyeluruh kepada pejuang Reformasi.

Menyempurnakan makna Reformasi

Dengan menduduki Putrajaya, segala-galanya akan didedahkan untuk memastikan rakyat nampak ini sebuah kerajaan telus yang dibentuk.

Segala kerosakan sistem akan dipulihkan dan mereka yang melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa akan dibawa ke muka pengadilan.

Bukankah ini satu kesempurnaan – mendefinisikan secara total keadilan untuk rakyat – makna Reformasi. Ini adalah perjuangan yang mahu kita lakukan. Kita mahukan keadilan setelah hampir 20 tahun berjuang.

Kita mahu menentang korupsi, nepotisme dan kronisme – ini yang penting dan mereka yang melakukan semua ini tidak boleh dibiarkan bebas.

Bagi mereka yang telah banyak berkorban – masa dan wang ringgit dalam memperkasakan perjuangan Reformasi, inilah masanya keadilan sebenarnya dapat dicapai.

Selepas berjaya menawan Putrajaya, keadilan menyeluruh akan dapat dilaksanakan. Ini adalah janji kita sebagai mereka yang terlibat dalam perjuangan menyelamatkan rakyat – menyelamatkan Malaysia.

Ini yang rakyat mahu lihat, setelah menang PRU14 – inilah yang pejuang Reformasi mahu saksikan, pembetulan sistem dan tiada siapa pun yang berlaku zalim, menyalahgunakan kuasa, terbabit dalam korupsi terlepas dan bebas.

Pejuang Reformasi mahu menuntut keadilan untuk Anwar yang dizalimi selama ini.

Ironisnya, adakah ini mampu dilaksanakan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad memenang jawatan perdana menteri ke-7 nanti?

Adakah Dr Mahathir dan DatuK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mampu berganding bahu untuk memastikan mereka yang dizalimi sewaktu timbulnya gerakan Reformasi dibela?

Adakah mereka mampu mengembalikan keadilan kepada Anwar atau terus menyembunyikan segala kesalahan daripada rakyat?

Apakah mereka akan lupa kesengsaraan pejuang Reformasi dalam mana mereka menduduki kerusi kepimpinan negara ini?

Dengan Dr Mahathir menjadi perdana menteri ke-7, apakah isu-isu yang diperjuangkan golongan Reformasi, sewaktu menuntut Reformasi – dapat diketengahkan, dinilai semula dan mereka yang menjadi kaya dengan rasuah, kronisme dan membohongi rakyat mampu dibawa ke muka keadilan?

Kita fikirkan bersama – jangan rakyat dibohongi.

*Nordin Yaacub ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: